OLEH AMINUDIN MANSOR
SETIAP novel mempunyai keistimewaan tertentu. Keistimewaan ini terletak di
sebalik penciptaan novel tersebut; kekuatan bahasa dan juga daya imaginasi
pengarangnya. Genre novel iaitu cerita dalam bentuk prosa, biasanya panjang dan
kompleks yang berkaitan dengan pengalaman manusia dan kelakuan sosial dalam
kehidupan.
Genre novel juga dapat mendidik akal budi, bahasa, perasaan dan perwatakan
pembaca khususnya manusia ke arah kebaikan dan kesempurnaan. Bagi novel
Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain yang menggantikan novel Interlok
terdapat beberapa keistimewaan berkaitan novel tersebut. Novel ini dipilih
menggantikan Interlok yang juga karya Abdullah yang didakwa oleh kaum India
menghina mereka. Ini membuatkan Kementerian Pelajaran menggantikan dengan
Konserto Terakhir sekalipun Interlok sebenarnya tidak menghina mana-mana kaum.
Abdullah pernah berkata, beliau mula menulis Konserto Terakhir dengan
tulisan tangan semasa berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan
Sabah. Pengalaman bekerja dan kisah di hantar ke negeri itu turut menyumbang
dan memberikan motivasi kepada lahirnya novel tersebut.
Novel ini mengenai watak utama Hilmi anak kampung lulusan sekolah Melayu
yang datang ke bandar untuk mencari
pekerjaan dan mencuba nasib. Novel yang disiapkan dalam masa satu bulan juga
diberikan judul Konserto Terakhir yang menceritakan konsert terakhir pada malam
Pertunjukan Orkes Perdana.
Watak utama berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.
Dia menumpang di rumah sepupu bapanya, Datuk Johari. Kehadiran Hilmi tidak
disukai oleh Datin Salmah yang memandang hina kepada orang kampung yang miskin.
Hilmi bekerja sebagai tukang kebun. Kerajinan dan sifat kreatif yang dimiliki
Hilmi telah mengubah pekarangan rumah Datuk Johari menjadi lebih cantik.
Hayati tertarik dengan kebolehan Hilmi bermain piano. Hubungan Hayati
dengan Hilmi yang rapat menyebabkan Datin Salmah bertekad menghalau Hilmi.
Lantaran itu, Hilmi meninggalkan rumah dan belajar bermain alat muzik daripada
Bakar. Hilmi berjaya sebagai seorang pemuzik dan penggubah lagu yang terkenal.
Sementara itu, Hayati hendak berangkat ke London dengan suaminya, Mohsin. Sebelum
berangkat Hayati datang berjumpa Hilmi dan menyatakan perasaan cintanya kepada
Hilmi.
Hilmi berjaya memenangi festival muzik di Jepun. Hilmi berkahwin dengan
Azizah tetapi Azizah meninggalkannya selepas mendapat seorang anak. Hilmi
terjatuh dan terlantar di hospital pada malam Pertunjukan Orkes Perdana.
Hayati pulang dan mengambil alih tugas Hilmi sebagai pemimpin orkestra. Di
hospital Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi adalah anak Datuk
Johari sendiri. Sebagai kesannya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan
perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi. Seterusnya Datuk Johari mati mengejut
semasa menerima berita kematian Hilmi.
Watak Hilmi ada persamaan dengan watak P.Ramlee yang mempunyai kebolehan
yang sama. Hal ini tidak menghairankan disebabkan penulisnya pernah bekerja dan
berkawan baik dengan P. Ramlee semasa di Singapura.
Menurut catatan Muhammad Haji Salleh dalam buku Seorang Penyair Sebuah
Benua Rusuh Biografi Usman Awang, pada tahun 1954 pada hujung minggu P.Ramlee
sering datang ke rumah Usman Awang yang disewa bersama-sama Asraf. P. Ramlee membawa Abdullah
bersama-samanya. Mereka orang filem. Sesekali mereka akan bertemu P.Ramlee
tercegat bercekak pinggang di depan panggung setelah selesai menonton.
(2006:159).
Justeru, tidak hairanlah novel ini mengisahkan kisah hidup pengarangnya dan
ada unsur-unsur perwatakan P. Ramlee iaitu ada persamaan watak Hilmi yang
mempunyai bakat besar dalam bidang muzik. Juga dimasukkan watak Azizah yang
pernah dinyanyikan dalam lagu Azizah oleh pengarah, pemuzik dan penyanyi yang
tersohor itu. Dalam novel ini juga terdapat konflik berlaku antara Datin Salmah
dengan Hilmi dan Azizah dengan Hilmi.
Komsas
Bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu bapa dan guru-guru yang
mengajar Komsas, tema dan persoalan novel ini sangat relevan dengan suasana
sosial hari ini. Ketabahan menghadapi cabaran dalam kehidupan akhirnya dapat
mengecap kejayaan yang gemilang. Hilmi yang dihina oleh keluarganya sendiri dan
gagal dalam percintaan telah berusaha bersungguh-sungguh hingga berjaya
mengangkat darjat dirinya menjadi seorang seniman terkenal.
Persoalan dalam novel ini iaitu sikap mementingkan pangkat dan kedudukan
hingga sanggup menghina keluarga sendiri. Keikhlasan dalam memberikan
pertolongan tanpa memikirkan balasan. Kesanggupan berkorban demi menjaga
kepentingan orang lain. Ketaatan kepada ibu bapa hingga sanggup mengorbankan
perasaan cinta. Terdapat percintaan tiga segi. Sikap bertanggungjawab dalam
melakukan sesuatu pekerjaan. Kejayaan dalam bidang seni dapat dicapai tanpa
pendidikan tinggi. Seterusnya, keinsafan setelah melakukan kesalahan.
Novel Konserto Terakhir juga sarat
dengan nilai-nilai kasih sayang, simpati, tolong-menolong, gigih, ikhlas, taat
kepada ibu bapa, insaf dan nasihat-menasihati. Hal ini menjadikan novel ini
amat sesuai dibaca, dihayati, dipelajari dan dikaji oleh para pelajar di
sekolah menengah peringkat SPM.
Keistimewaan Konserto Terakhir juga adalah disebabkan langgam dan teknik
penceritaan dengan bahasa yang mudah dan lancar oleh Abdullah menjadikan novel
ini mudah difahami dan seronok dibaca oleh kalangan pelajar SPM sejak beberapa
tahun lalu.
Menurut Profesor Abu Bakar A. Hamid, kekuatan sesebuah novel adalah
berdasarkan cerita yang berlaku di sesuatu tempat tertentu. Bukan lagi cerita
tanpa zaman dan boleh berlaku di mana-mana saja. Ada pelukisan yang teliti
tentang lingkungan suasana dan zaman di mana dan apabila manusia hidup dan
peristiwa berlaku. Cerita bergerak dalam lingkungan waktu yang tertentu dan
tidak bila-bila sahaja. Bahasa yang digunakan juga bahasa yang mendekati
penggunaannya sehari-hari. Pelukisan pengalaman manusia dibuat sedemikian rupa
sehingga betul-betul mirip kepada pengalaman individu yang lazim dikenali dan
meyakinkan pembaca. Watak utama dan sampingan juga dirasakan benar-benar hidup.
Tinjauan dan kajian penulis semasa mengajar pelajar Komsas dalam Bahasa
Melayu, mendapati pelajar Tingkatan Lima yang mengambil peperiksaan SPM
terkesan dengan novel ini dan terbawa-bawa dalam kehidupan mereka sebagai
contoh watak Hilmi yang mempunyai peribadi yang sederhana, unggul dan tahan
menghadapi cabaran.
Lantaran itu, kekuatan dan kehebatan serta kewibawaan novel Konserto
Terakhir karya Sasterawan Negara kelapan ini tidak perlu dipertikaikan lagi
sebagai teks sastera Komsas Tingkatan Lima. Malahan dengan kekuatan binaan
plot, teknik plot yang rencam dan beraneka menjadikan latar tempat, masa dan
masyarakat serta gaya bahasanya mudah diterima oleh pelajar pada masa kini.
Dengan alur perasaan dan rasa keindahan novel ini mampu memberikan pengajaran
dan pendidikan yang berkesan kepada pelajar khususnya remaja yang bakal
menghadapi pelbagai cabaran pada masa akan datang.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan