Bukan lagi pilihan terakhir
Oleh : Ruhaiza Rusmin
SEJAK dulu, Tingkatan Enam sering diklasifikasikan sebagai pendidikan sukar
dan menjadi pilihan terakhir pelajar yang tidak berjaya melanjutkan pengajian
ke institusi pengajian tinggi atau matrikulasi.
Begitu banyak definisi diberikan hingga menimbulkan justifikasi berbeza
masyarakat menyebabkan Tingkatan Enam malap dan terpinggir.
Bagaimanapun, ada cadangan untuk memberi wajah baharu kepada Tingkatan Enam
baru - baru ini membabitkan dimensi dan nafas baru terhadap pendidikan
berkenaan.
Menerusi imej baharu cadangan penstrukturan semula, ia juga dianggap sebagai
tanda terima kasih kepada Tingkatan Enam yang selama ini menjadi penyelamat
khususnya pelajar yang ingin menjejakkan kaki ke menara gading.
Persoalannya, adakah dengan pembaharuan bakal dilaksanakan itu, Tingkatan Enam
mampu menarik kembali ramai pelajar untuk meneruskan pengajian atau sebaliknya?
Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, penjenamaan
semula berkenaan tepat masanya bagi memberi ‘cahaya’ baharu kepada Tingkatan Enam
dan perlu segera dilaksanakan.
Menurutnya, sumbangan Tingkatan Enam kepada sistem pendidikan negara cukup
besar dan wajah baharu itu boleh ‘mengingatkan’ kembali masyarakat, jasa-jasa
yang sudah dicurahkan selama ini.
“Dulu Tingkatan Enam dianggap sebagai pendidikan berprestij dan hanya untuk
pelajar yang terpilih saja. Fungsinya cukup besar terutama membantu pelajar
melangkah ke alam pendidikan tinggi.
“Malangnya, kini Tingkatan Enam hanya dianggap sebagai pilihan terakhir dan
gagal menarik minat pelajar. Ditambah pula dengan pelbagai tanggapan negatif.
“Justeru penjenamaan semula ini langkah tepat untuk ‘menghidupkan’ kembali
Tingkatan Enam sekali gus menjadikannya sebagai salah satu proses kesinambungan
pendidikan ke menara gading,” katanya.
Beliau menegaskan sama ada ke Tingkatan Enam atau tidak, setiap peranan
yang dimodulkan melalui sistem pendidikan negara mempunyai kepentingan
masing-masing.
Pandangan skeptikal masyarakatlah katanya, menyebabkan ia dikelaskan
sebagai pembaziran dan kelas kedua sekali gus bertentangan dengan kehendak
pendidikan berterusan.
“Secara amnya, setiap pendidikan sama ada bertaraf tinggi atau rendah tidak
wajar dinilai mengikut spesifikasi tertentu kerana fungsi setiap daripadanya
tetap sama iaitu memberi pendidikan.
“Namun ramai seperti menganaktirikan Tingkatan Enam menyebabkan ia sering
kali diberi penilaian negatif.
“Justeru penstrukturan serta pemberian imej baru ini diharap mampu
menghapuskan pandangan skeptikal itu dan menjadikan Tingkatan Enam sebagai
salah satu wadah pendidikan terbaik negara,” katanya.
Penstrukturan imej baru Tingkatan Enam seperti dilaporkan akhbar baru -
baru ini dianggap sebagai landasan awal untuk meninggikan lagi penerimaan
masyarakat sejajar sistem pendidikan prauniversiti.
Antara cadangannya ialah menyatukan Tingkatan Enam, jadual waktu, guru dan
pakaian berbeza serta dipisahkan dari sekolah biasa.
Menurutnya, penstrukturan baru itu boleh menarik dan meningkatkan imej Tingkatan Enam biarpun selama ini pendidikan berkenaan kurang popular.
“Ini kerana pelajar kebanyakannya berminat memohon untuk memasuki kolej
atau menara gading bagi melanjutkan pengajian kerana dianggap lebih menjamin
peluang kemasukan ke universiti.
“Pada masa sama tanggapan ia susah dan membazir sentiasa membelenggu minda
masyarakat menyebabkan kurang sambutan.
“Padahal fungsi pembelajaran dan tujuan asasnya tetap sama. Hanya
disebabkan ia di sekolah bukan di kolej menjadikan Tingkatan Enam masih
disamakan seperti pendidikan di sekolah,” katanya menambah cabaran belajar di
mana - mana pun tetap serupa.
“Sama ada di sekolah atau menara gading, pembelajaran adalah proses
berterusan yang memerlukan seseorang fokus.
“Jangan berikan alasan belajar di menara gading atau matrikulasi boleh
menjamin masa depan. Semuanya bergantung pada sikap dan di mana - mana saja
seseorang boleh mencipta kejayaan,” katanya.
Ditanya antara faktor Tingkatan Enam kurang mendapat sambutan, beliau
berkata subjek dikatakan sukar, peluang sukar memasuki institusi pengajian
tinggi dan hanya membuang masa berbanding diploma adalah puncanya.
“Apabila ramai berkata demikian, secara tidak langsung mematikan minat
pelajar untuk meneruskan pengajian.
“Mungkin pengisiannya lebih meluas namun bersesuaian dengan fungsinya
sebagai pendidikan prauniversiti.
“Dengan kata lain, di sinilah ilmu berdikari dipelajari sama seperti di
menara gading. Jadi tidak adil kalau pelajar tidak didedahkan dengan proses
pembelajaran seperti itu,” katanya.
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Dr
Othman Lebar pula beranggapan sistem pendidikan Tingkatan Enam yang
dilaksanakan di sekolah adalah antara punca utama ia disalah anggap.
Menurutnya, ramai menyangka Tingkatan Enam adalah kesinambungan proses
pembelajaran di Tingkatan Lima apatah lagi dilakukan di sekolah.
“Ini menyebabkan mereka ‘bosan’ dan tidak tertarik sekali gus mencari
alternatif lain bagi melanjutkan pengajian.
“Sepatutnya Tingkatan Enam perlu diasingkan dengan ciri berbeza supaya
pelajar dapat merasai keistimewaannya selain disuntik dengan elemen tertentu.
“Apabila ada kelainan, tentu ada tarikan. Perlu ada penegasan dan
pemberitahuan bahawa Tingkatan Enam adalah pendidikan berkonsepkan prauniversiti
bukan sekolah,” katanya.
Setiap pendekatan yang digunakan perlu lebih menjurus kepada cara
pendidikan peringkat tinggi supaya pada masa sama pelajar boleh berfikir dan
bertindak bukan seperti pelajar sekolah.
“Sejak dulu, Tingkatan Enam diiktiraf setara dengan pendidikan tinggi,
malangnya kerana ia banyak dilaksanakan di sekolah, ‘perasaan’ seperti pelajar
sekolah masih wujud.
“Padahal pendidikan itu adalah peringkat tinggi. Saya percaya memang sudah
tiba masanya Tingkatan Enam diberi penjenamaan semula.
“Sekali gus mengembalikan semula kegemilangannya yang sudah banyak berjasa
melahirkan golongan berpendidikan tinggi sebelum ini,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan