Oleh : Mohamed
Khalid Nordin
Budaya
penyelidikan perlu disemai, diperkukuhkan melalui beberapa dasar
Negara yang maju akan melabur untuk meneroka, mengembara dan mencari ilmu
baru. Oleh itu, melahirkan kecintaan yang luar biasa pada penerokaan ilmu bukan
lagi satu pilihan tetapi kemestian jika kita ingin melangkah dan membawa
Malaysia ke tahap sebuah negara maju. Budaya penyelidikan perlu disemai dan
diperkukuhkan melalui beberapa dasar utama yang strategik. Melahirkan
masyarakat saintifik bukan sekadar ‘retorik’. Ia adalah prasyarat utama untuk
menjadi bangsa yang maju.
Hakikatnya, tugas ini bukan mudah kerana ia memerlukan strategi dan pelan
jangka masa yang panjang.
Pertamanya, kecintaan pada sains harus dibudayakan dari umur seawal mungkin dan generasi bangsa kita mesti ‘terus dighairahkan dengan sains, falsafah dan penerokaan ilmu baru. Ia adalah prasyarat utama untuk kita bergraduat menjadi negara maju.
Pertamanya, kecintaan pada sains harus dibudayakan dari umur seawal mungkin dan generasi bangsa kita mesti ‘terus dighairahkan dengan sains, falsafah dan penerokaan ilmu baru. Ia adalah prasyarat utama untuk kita bergraduat menjadi negara maju.
Kedua, Malaysia yang moden dan progresif, memerlukan pelaburan yang signifikan,
lestari dan mapan untuk penyelidikan. Ukuran pelaburan penyelidikan tidak hanya
berdasarkan nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia juga meliputi
pelaburan kita dari setiap aspek pembiayaan yang menjurus kepada pembangunan
dan penyebaran ilmu, pendidikan sains dan teknologi.
Ini merangkumi daripada peringkat pendidikan sekolah rendah, pengajian
tinggi hinggalah kepada penyelidikan berimpak tinggi di universiti serta
aktiviti yang bermaksud untuk membudayakan sains.
Ketiga, penyelidikan kita tidak harus sama sekali mengenepikan apa jua elemen dan
disiplin ilmu. Penyelidikan sains penting, tetapi sejarah, sosiologi, bahasa
serta muzik juga sangat penting. Penemuan baru dalam bidang kejuruteraan sangat
besar kepentingannya kepada pulangan dalam bentuk kewangan tetapi merakamkan
sejarah bangsa juga penting dalam membina peradaban bangsa.
Keempat, sifat penyelidikan itu sendiri sudah pelbagai disiplin. Kerajaan
menyedari bahawa tidak ada penyelidikan yang mampu memberikan dampak besar jika
ia membelakangkan karektor pelbagai disiplinnya.
Kelima, kerajaan menyedari bahawa penyelidikan memerlukan ‘pandangan jauh’.
Dampaknya bukan sebulan dua atau setahun dua. Ia adalah proses yang panjang dan
berliku.
Setiap eksperimen yang tidak menepati sasaran, kepada ahli sains ia bukan
kegagalan. Ia adalah penemuan baru. Apa jua yang kita lakukan hari ini, kesan
dan natijahnya mungkin hanya dapat kita rasai sedekad dua mendatang.
Oleh itu, penyelidikan memerlukan ketahanan intelektual yang luar biasa,
selain kecintaan yang abadi pada tugas yang dilaksanakan.
Baru-baru ini, sebanyak RM170 juta diagihkan kepada penyelidik di Institusi
Pengajian Tinggi (IPT) bagi membiayai 1425 geran penyelidikan 2012. Justeru,
kementerian ingin memastikan pengagihan dana ini datang dengan
pertanggungjawaban. Ini bermaksud bukan hanya dari segi integriti penggunaan
dana, lebih utama ialah apakah dampaknya pada pembangunan bangsa dan kemajuan
tanah air.
Dampak penyelidikan yang dilakukan mesti mampu membantu transformasi
ekonomi dan sosial bangsa serta ibu pertiwi.
Impak penyelidikan mesti diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seperti jumlah
pekerjaan yang diwujudkan, keahlian saintis dan penyelidik kita dalam lembaga
pengarah dan pengurusan syarikat berkaitan, pegangan saham dalam syarikat yang
mengkomersialkan penyelidikan mereka, sumbangan industri untuk menderaskan lagi
inovasi berdasarkan dapatan penyelidikan, jumlah penyelidik dan tenaga pakar yang
dapat kita lahirkan dan yang lebih penting, bagaimana ia memanfaatkan
masyarakat dan membantu memodenkan Malaysia.
Sehubungan itu, kementerian akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menilai
impak setiap perbelanjaan penyelidikan khususnya oleh Universiti Penyelidikan
(RU) terhadap pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.
Selain itu, ketika berucap melancarkan Penyampaian Dana Penyelidikan,
penulis mencadangkan agar satu formula diwujudkan untuk mengukur sumbangan
dapatan penyelidikan dan inovasi IPT kepada KDNK. Malah, ia juga harus
merangkumi sumbangan pengajian tinggi kepada KDNK negara. Hanya melalui
pendekatan ini, kita dapat meyakinkan diri kita, kerajaan dan masyarakat awam
bahawa dana awam yang diperuntukkan sesungguhnya digunakan dengan penuh
tanggungjawab.
Pada masa yang sama, kita juga wajar memahami bahawa kita tidak boleh
mengetepikan sama sekali sumbangan penyelidikan yang kualitatif sifatnya.
Penyelidikan yang berteraskan sains sosial dan kemanusiaan, yang bersandarkan
ilmu bahasa dan agama, yang menjurus kepada kajian keselamatan dan diplomasi,
adalah sangat penting tetapi ia tidak memadai jika diukur hanya sebagai dokumen
yang dinamakan jurnal dan buku semata-mata.
Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan