Sabtu, 3 November 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cabaran guru menuntut ilmu


Oleh : Dr Norliza Kushairi  

Amalan pembelajaran sepanjang hayat

Institusi pengajian tinggi kini dibanjiri pelajar dewasa yang sebahagian besarnya adalah guru dalam perkhidmatan. Ini berikutan dasar memartabatkan profesionalisme guru yang diterjemahkan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Amalan pembelajaran sepanjang hayat sudah menjadi budaya masyarakat kita. Suasana di kampus pada hujung minggu dan waktu cuti sekolah menjadi ‘hidup’ dengan gelagat guru yang dahagakan ilmu.

Namun, dalam senario yang memberangsangkan ini, sering kali kita mendengar permintaan mereka untuk lanjutan tempoh menghantar tugasan kerana pelbagai sebab termasuk terpaksa membawa pelajar ke Karnival SUKMA dan menjaga anak sakit. Inilah antara cabaran menjadi pelajar dewasa dan cabaran bagi tenaga pengajar yang mengurus mereka.

Sepanjang pengalaman mengurus pelajar dewasa, rayuan sedemikian kerap saya terima apabila tarikh akhir sesuatu tugasan kian hampir. Sebagai orang berkeluarga, sedikit sebanyak timbul rasa kasihan terhadap pelajar sebegini. Namun ada kalanya kelonggaran yang diberikan akan menggugat prestasi akademik mereka.

Kurang kemahiran belajar, menguruskan masa

Apa yang saya perhatikan ialah sebilangan guru ini kurang kemahiran belajar dan menguruskan masa. Pesan saya kepada mereka ialah ‘belajar cara belajar’. Kemahiran ini tidak datang dengan sendiri atau tercipta sejak azali. Walaupun umum menganggap guru sudah mantap kemahiran belajarnya, realitinya sebilangan guru yang belajar tidak begitu. Ini kerana keadaan apabila kita mengajar dan apabila kita menjadi pelajar adalah berbeza.

Menjadi pelajar benar-benar menguji kemahiran belajar yang sering kita nyatakan kepada pelajar. ‘belajar cara belajar’ adalah hakikat yang perlu dihadapi mereka yang menuntut ilmu. Ia adalah inti pati pembelajaran sepanjang hayat. Bukanlah segulung ijazah yang patut diidamkan, tetapi pengalaman diraih ketika bergelar pelajar. Menjadi pelajar dewasa menguji keupayaan kita menguruskan tanggungjawab.

Dengan komitmen yang menggunung seperti bergegas menguruskan anak, tuntutan tugas pejabat yang tidak berpenghujung dan tugasan pengajian yang menghambat, guru bergelar pelajar dewasa berdepan dengan pelbagai cabaran dan perlu memiliki kekuatan mental. Kekuatan mental itu ialah keupayaan minda di bawah sedar untuk mengawal pergerakan seharian supaya tidak mudah mengalah apabila keadaan tidak menyebelahi diri.

Menurut pengamal perubatan alternatif, Prof Dr Ibrahim Ahmad, minda bawah sedar banyak melakukan tugas untuk kita, iaitu apa saja yang terlintas dalam fikiran akan ditangkap dan disimpan. Ia juga boleh bertindak menjayakan atau menggagalkan misi seseorang itu.

Pengalaman jadi pelajar dewasa

Pengalaman saya sebagai pelajar dewasa membuka perspektif tersendiri terhadap pembelajaran sepanjang hayat. Berbanding pelajar bujang yang tiada komitmen keluarga, setiap detik masa saya terasa sangat berharga. Saya perlu menyusun jadual untuk mencapai sasaran harian yang ditetapkan iaitu memastikan setiap jam yang saya gunakan untuk diri dan setiap jam sama yang dikorbankan keluarga, adalah benar-benar berbaloi.

Untuk tidak mengecewakan diri sendiri, tetapkan sasaran yang kecil, tetapi bermakna untuk hari itu dan berkesan untuk jangka masa panjang. Saya juga sengaja mewujudkan ‘ketegangan’ diri iaitu dengan menyatakan pada diri bahawa saya tidak amanah dengan anak sekiranya gagal mencapai sasaran harian saya.

Perlu kekuatan mental

Inilah satu daripada latihan menguasai minda di bawah sedar yang saya amalkan. Saya lakukan begini kerana saya sangat bimbang Allah akan menyoal saya kelak mengenai masa mendidik anak yang saya korbankan. Ia juga satu perjuangan dengan diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Kekuatan mental adalah senjata ampuh yang kita perlukan.

Secara umumnya, menuntut ilmu itu adalah amalan mulia di sisi agama. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali.” (Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi). Malah diriwayatkan malaikat mengerumuni orang yang menuntut ilmu sehinggakan jika kita bersedekah kepada mereka, pahala digandakan sehingga 700 kali.

Maka janganlah rasa gusar dengan cabaran belajar kerana menuntut ilmu adalah amalan mulia.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra Kedah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Jangan jadikan AES mangsa terbaharu kedegilan pemandu Malaysia


Oleh : Azman Anuar

SISTEM Penguatkuasaan Automatik (AES) yang baharu dilaksanakan di negara ini setelah perancangannya dibuat 10 tahun lalu, tetap menerima bantahan daripada segelintir wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tertentu.

Pada 10 Oktober lalu, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di Dewan Rakyat bersetuju untuk meminta kerajaan menangguh dan mengkaji semula penggunaan AES.

Mereka mahu pelaksanaan sistem mencegah kemalangan di jalan raya khususnya kemalangan maut itu ditangguhkan. Mereka mahu kajian lanjut dibuat untuk memastikan penggunaan sistem itu berbaloi dengan belanja operasinya.

Nampaknya empat negeri yang diterajui pembangkang bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan AES. Pergerakan Pemuda UMNO pula mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES setelah mendapat maklum balas di peringkat akar umbi bahawa terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya meskipun sistem itu dianggap amat baik.

Bantahan juga dilakukan sebab lokasi menempatkan AES dikatakan tidak bersesuaian dan mengundang banyak kemarahan pengguna.

Sebulan lalu, dalam tempoh tujuh hari lebih 100,000 saman dikeluarkan daripada 14 lokasi AES yang menunjukkan rakyat tidak didedahkan sepenuhnya penguatkuasaan AES itu.

Pelaksanaan AES merupakan antara kaedah yang boleh digunakan untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti pematuhan had laju. Malangnya usaha baik ini akhirnya telah dianggap oleh masyarakat sebagai bertujuan untuk menyaman semata-mata.

AES merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.

Sesungguhnya, tidak ada sebab AES perlu ditangguhkan kerana setiap hari negara menghadapi kisah-kisah kemalangan maut kerana kegagalan pemandu mendisiplinkan diri masing-masing.

Oleh itu AES perlu diteruskan untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih menghormati undang-undang jika mereka tidak mahu dikenakan tindakan saman.

Bagaimanapun kita harus mendengar pandangan rakyat. Bagi segelintir pemandu, AES ini boleh mendorong rakyat menipu, ketika memandu laju mereka akan memecut tetapi di kawasan kamera AES, kenderaan dipandu secara perlahan.

Tidak kurang juga yang berhujah, kerajaan perlu menangguhkan sementara pelaksanaan AES demi kepentingan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Sama ada AES ditangguhkan atau dibatalkan, isu ini tetap akan dipolitikkan. Tetapi jangan dilupakan tujuan AES hendak dikuatkuasakan adalah untuk mendidik disiplin pengguna jalan raya.

Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta agensi yang berkaitan telah berusaha untuk mengurangkan angka kematian dan kemalangan. Pelbagai pendekatan pencegahan kemalangan, penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi moden diperkenalkan dari tahun ke tahun - tetapi kadar kematian dan kemalangan tidak berubah.

Jadi kenapa pelaksanaan AES juga mahu kita gagalkan. Sebelum ini banyak usaha dan pembaharuan dilakukan namun kurang berjaya kerana sikap pemandu Malaysia sendiri. Pemandu negara kita gemar memandu laju, suka langgar peraturan lalu lintas dan tidak berdisiplin di jalan raya.

Mungkin sikap pemanduan rakyat Malaysia tidak akan berubah selagi ada bantahan dan kritikan terhadap sesuatu usaha yang baru dikuatkuasakan. Kemudian kehendak mereka dilayan kerana takut kesan politik.

Jika begini sikap kita, sampai bila pun pemandu kita tidak akan berubah. Sudah banyak hujah dan pandangan dilontarkan dalam menangani masalah kemalangan jalan raya.

Jika sistem lampu berkamera yang diperkenalkan beberapa tahun lalu dianggap gagal kerana kurang penyeliaan, maka pihak berkenaan terutama JPJ perlu mengambil iktibar dan jangan perkara yang sama diulangi.

Kita percaya jika sistem AES digunakan di tempat strategik, mana-mana pesalah pasti diberikan saman tanpa rasa takut dan memilih, malah ia mencegah daripada berlaku rasuah.

Pengguna jalan raya perlu menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan. Ingatlah penguatkuasaan peraturan, pelaksanaan dan pengenalan sistem lalu lintas dibuat untuk menjamin keselamatan nyawa pengguna jalan raya di negara ini.

Semua ini dibuat kerana kos kemalangan di jalan raya menyebabkan Malaysia kerugian dari sudut ekonomi sebanyak dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar setiap tahun. Sebenarnya kita perlu keberanian dan ketegasan dalam melaksanakan undang-undang jalan raya. Oleh kerana kurang tegas maka kita berdepan dengan sikap segelintir penumpang kereta yang masih berdegil tidak mahu menggunakan tali pinggang keledar bahagian belakang.

Jika AES mahu ditangguhkan, pastikan penguatkuasaan peraturan di jalan raya dijalankan tanpa sambil lewa. Kita bimbang, kemalangan terus berlaku.

Hasrat kita ingin menjadi negara maju pada tahun 2020 mungkin terbantut jika mempunyai rakyat yang bersikap ‘raja jalan raya’ dan degil terhadap peraturan jalan raya. Apa makna menjadi negara maju jika perangai pemandu kita sukar dididik.

Jika di negara lain, penggunaan AES dapat membantu mengurangkan kemalangan, di negara kita belum pun bermula sudah berbakul-bakul kritikan disumbatkan.

Selagi kita gemar tolak tarik keputusan yang telah dibuat, maka sampai bila pun tahap pemikiran kita di jalan raya tidak akan berubah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 2 November 2012

ISU SOSIAL : Hidup bernafaskan cinta kasih


Oleh : PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI  ZAINAL ABIDIN

Perkataan rahmat yang digunakan dalam bahasa kita berasal daripada bahasa Arab. Rahmah daripada kata rahima yang bermaksud kasih atau kasihan belas. Dari perkataan ini lahirnya perkataan rahim (womb), perkataan ar-Rahman dan ar-Rahim daripada akar rahima ataupun rahmat dalam bahasa kita dan lain-lain lagi.

Hidup ini dibina atas cinta dan rahmat. Tanpa cinta dan kasih hancurlah kehidupan. Justeru, surah-surah dalam al-Quran kesemuanya – kecuali Surah at-Taubah, bermula dengan basmalah iaitu ‘dengan nama ALLAH ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) Lagi ar-Rahim (Maha Penyayang)’. Hubungan Tuhan dengan manusia serta alam keseluruhannya berasaskan cinta dan kasih. Hubungan manusia dengan Tuhan juga berasaskan cinta dan kasih. Mencintai Tuhan adalah asas dalam keimanan. Sesiapa yang membenci Tuhan maka dia tidak beriman.

Dakwah atas rahmat

Tuhan jadikan  belas kasih dan sayang sebagai asas kehidupan yang sejati. Ketika membicarakan tentang Nabi Muhammad SAW, ALLAH SWT menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula kepada orang-orang yang beriman sangat belas sayang dan sangat rahmat (kasih) (Surah at-Taubah: 128).

Ertinya, dakwah Nabi tidak bermula kebencian kepada mana-mana kumpulan yang tidak melancar permusuhan kepada ajaran ALLAH. Tidak seperti anggapan bahawa kebencian adalah asas hubungan antara Muslim dengan Barat ataupun Timur, dengan Yahudi ataupun Kristian, dengan secularist ataupun agnostic ataupun selain mereka. Asas hubungan Muslim dengan pihak lain bukan dengan slogan ‘permusuhan’ ataupun ‘kebencian’ seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Sebaliknya ia berasaskan misi Nabi: (maksudnya) “Kami (ALLAH) tidak utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan rahmat untuk sekalian alam” (Surah al-Anbiya: 107)

Suami isteri

Hubungan suami isteri dibina atas cinta dan rahmat. Ia tidak dibina atas selera seks semata tanpa rasa kasih dan rahmat. Tidak juga atas kehendak wanita yang mahukan nafkah dan tempat tinggal semata. Jika hanya atas selera seks, atau atas keperluan untuk makan dan pakai ataupun kepentingan yang lain tanpa ikatan cinta dan rahmat, kehidupan suami isteri tidak akan bahagia. Itu sebenarnya hubungan untuk mengambil kesempitan atas kepentingan tersendiri antara pasangan. Akhirnya ia akan melahirkan rasa tidak puas hati dan kebencian. Rasa cinta dan kasih simpati dalam hubungan pasangan adalah fitrah alam ciptaan Tuhan. Firman ALLAH: (maksudnya) “Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir”. (Surah ar-Rum: 21)

Sesiapa yang kononnya mencintai ataupun dicintai pasangannya hanya kerana kedudukan ataupun hartanya maka sesungguhnya dia sedang hidup di luar dari natural design yang Tuhan tetapkan untuk kehidupan pasangan suami-isteri. Sesiapa yang disayangi kerana harta ataupun kedudukannya semata, hakikatnya dia tidak disayangi ataupun dicintai tetapi sedang dikhianati. Apabila kedudukan dan hartanya hilang, maka dia akan melihat kepalsuan kehidupan.

Maka isteri yang hanya mementingkan harta dan pangkat dalam hubungan, bukanlah isteri dalam erti kata sebenar. Dia tidak patut menduduki tempat ‘seorang isteri’ dalam kehidupan seorang lelaki. Isteri yang seperti itulah yang telah merosakkan reputasi ramai pemimpin dunia ini. Wanita yang seperti itu patut ‘dipecat’ dari kerusi isteri.

Begitulah juga jika sesiapa yang memiliki suami yang hanya mahukan seks semata, tanpa memberikan belaian kasih sayang. Tubuh diratah rakus, disetubuhi sepuasnya tapi dalam masa yang lain dimaki hamun, ataupun dipukul dan dihina semahunya. Lelaki yang seperti itu tidak layak menduduki tempat sebagai suami dalam kehidupan. Jika seorang wanita memiliki suami seperti itu, dia sepatutnya menggunakan peruntukan syarak seperti khulu’ dan fasakh agar lelaki seperti itu tidak hadir dalam hidupnya dan tidak lagi menjamah tubuhnya.

Andainya ada pegawai yang menasihati ‘jangan minta cerai, sabar!’ itu menunjukkan dia pegawai agama yang malas membuka fail, ataupun jahil tentang tabiat penciptaan kehidupan yang ALLAH jadikan. Sabda Nabi mengherdik lelaki seperti ini dengan menyatakan: “Sengaja seseorang kamu memukul isterinya bagaikan hamba sahaya kemudian menyetubuhinya di waktu lain” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ibu bapa

Hubungan antara keluarga juga hendaklah atas cinta dan belas kasih. Seorang anak hendaklah dibesarkan atas belas kasih, bukan kebencian ibu bapa. Untuk itu dalam al-Quran, ALLAH mengajar kita berdoa kepada kedua ibu bapa dengan menyatakan (maksudnya) “Katakanlah: Wahai Tuhan ku, kasihanilah mereka berdua seperti mereka mendidik ku semasa kecil” (Surah al-Isra: 24).  Walaupun arahan ini ditujukan kepada anak, tetapi ia pengajaran buat ibu bapa agar mendidik anak dengan belas kasihan. Jika ibu bapa tidak mendidik anak dengan belas kasihan semasa kecil, maka bagaimana mungkin doa ini akan sesuai untuk mereka nanti?!

Bapa ataupun ibu yang zalim, memukul ataupun menyeksa anak dengan cara yang salah adalah manusia yang tidak layak memikul gelaran ibu ataupun bapa. Ibu bapa yang menengking anak bukan pada tempatnya atau memaki hamun anak dengan bahasa yang buruk dan jelik bukan pendidik yang layak mendapat doa al-Quran tadi. Mereka inilah yang merosakkan masa depan dan kehalusan budi serta akhlak anak-anak. Hubungan asal anak dan ibu bapa yang berasas cinta dan rahmat bertukar menjadi dosa dan kebencian.

Maka tidak hairan jika ibu bapa yang cuai itu dilupai oleh anak mereka apabila dewasa nanti. Perbuatan melupai ibu bapa itu tidak baik, tetapi kehilangan rahmat akan menghilangkan segalanya. Apabila melihat Nabi mencium cucu Baginda al-Hasan bin ‘Ali, Al-Aqra’ bin Habis berkata bahawa dia mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pun dia pernah cium. Nabi berkata kepadanya: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia tidak akan dikasihi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sahabat

Hubungan antara sahabat juga demikian. Sahabat sejati bukan sekadar kerana ada kepentingan tertentu, tetapi hubungan kasih dan rahmat. Dalam hadis Nabi bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba ALLAH adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi ALLAH”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan roh ALLAH, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi ALLAH, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”. Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali ALLAH tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah

Hubungan rakyat dan pemerintah juga demikian. Ia bukan hubungan pihak yang kuat menentang pihak yang lemah. Bukan hubungan kuasa, cukai, harta dan ketaatan membabi buta. Ia hubungan kasih dan rahmat. Di atas kasih dan rahmat, ketaatan diberikan dan kuasa dilaksanakan. Sabda Nabi: “Pemimpin  yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat, mereka juga melaknati kamu”. (Riwayat Muslim).

Marilah kita memastikan cinta dan rahmat itu sentiasa subur dan berkembang dalam masyarakat kita. Kita tidak boleh hidup dengan kebencian, kita hanya boleh dan wajar hidup dengan cinta dan rahmat. Kehidupan yang dibina atas kebencian hanya akan merosakkan fitrah insani yang ALLAH ciptakan. Kembali kepada syiar Nabi: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia pula tidak akan dikasihi.”

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kecelaruan jantina boleh dielak


UMUMNYA, setiap manusia dilahirkan dengan sifat semula jadi sama ada sebagai lelaki atau perempuan. Walaupun ada juga ketikanya, ada manusia yang dilahirkan dengan memiliki dua alat jantina, tetapi keadaan seumpama itu hakikatnya sangat kecil.

Menurut sains perubatan, kewujudan jantina manusia dikatakan telah mula dikesan sejak bermulanya proses persenyawaan lagi. Terdapat kromosom tertentu yang menjadi penyebab kepada terhasilnya jantina manusia yang tertentu.

Keunikan manusia dengan perbezaan jantina itu disebabkan oleh perbezaan sifat fizikal dan emosi yang dimiliki oleh kedua-duanya.

Ia telah muncul sejak lahir lagi. Apabila manusia dikurniakan dengan alat kelamin yang berbeza, secara tidak langsung menjelaskan tugas kita sebagai manusia yang berbeza peranan.

Tatkala lelaki tidak mampu melahirkan zuriat, wanita pula mempunyai sistem peranakan yang mampu memainkan peranan mereka bagi melahirkan anak.

Bagaimanapun, wanita pula tidak mampu melahirkan zuriat tanpa adanya lelaki. Kelebihan dan kekurangan itulah yang menjadikan kita hidup saling melengkapi.

Jadi, kedua-dua lelaki dan wanita saling memerlukan antara satu sama lain.

Inilah yang membentuk fikrah lelaki dan wanita sejak zaman Nabi Adam AS dan Hawa lagi. Sifat itu kemudiannya diwariskan daripada satu generasi kepada generasi lain secara biologikal dan persekitaran.

Bertentangan hukum agama

Walau bagaimanapun, mutakhir ini kita dikejutkan dengan adanya segelintir kumpulan tertentu yang memperjuangkan hak untuk mengamalkan kehidupan bertentangan dengan jantina mereka.

Ada yang cuba untuk menghalalkan perkahwinan sesama jantina. Ada lelaki yang cuba hidup sebagai wanita dan ada pula anak gadis yang mahu hidup sebagai lelaki.

Selain menyimpang daripada budaya Timur, ia juga hal bertentangan dengan ajaran agama yang melarang manusia hidup dalam keadaan bertentangan dengan sifat semula jadi jantina mereka.

Kita tidak menafikan bahawa terdapat juga pengaruh biologikal tertentu yang menyebabkan kecelaruan jantina berlaku.

Umumnya, lelaki dikatakan akan mempunyai lebih banyak hormon testosteron, sebaliknya wanita akan dikaitkan dengan hormon androgens.

Masalah berlaku sekiranya lelaki memiliki hormon androgens yang lebih dominan atau wanita mempunyai hormon testosteron yang lebih banyak.

Ini akhirnya membentuk kecenderungan mereka untuk mempunyai sifat dan perwatakan yang bertentangan dengan jantina asal.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna kita patut beranggapan bahawa dengan sedikit kecenderungan yang ada, kita patut mengubah diri kepada jantina 'baharu' yang diidamkan.

Seseorang harus ada semangat untuk menjadi diri sendiri mengikut jantina yang sudah ditentukan. Sebab itulah kita dapati, ada sesetengah individu yang sengaja merangsang biologikal mereka dengan mengambil ubatan atau menyuntik ubat tertentu bagi mengubah diri mereka menjadi manusia baharu. Ia bertentangan dengan norma hidup manusia.

Peranan ibu bapa

Dalam kes-kes tertentu, kita sebenarnya boleh mengesan kecenderungan anak-anak yang berhadapan dengan kecelaruan jantina itu.

Ia boleh dilihat sejak mereka masih di peringkat awal kanak-kanak. Misalnya kanak-kanak lelaki bermain dengan permainan anak-anak perempuan, manakala ada kanak-kanak perempuan yang bermain dengan permainan yang kasar yang mungkin hanya sesuai dengan lelaki.

Kecelaruan jantina itu kemudiannya diperteguhkan pula oleh layanan keluarga dan sikap masyarakat. Mereka juga biasanya disisihkan dalam kelompok sosial.

Misalnya, anak-anak lelaki yang dikatakan 'lembut' akan disisihkan atau diejek apabila bermain dengan teman sebaya mereka.

Ini menjadikan mereka memilih untuk bermain dengan kanak-kanak perempuan.

Oleh sebab itu, sekiranya ibu bapa mengesan wujudnya bibit-bibit kecelaruan jantina itu, mereka harus segera berjumpa pakar.

Perkara tersebut tidak boleh dianggap sebagai hal normal, malah dalam sesetengah kes, ada ibu bapa yang menyokong anak-anak mereka yang cuba menjadi individu berlainan jantina.

Walaupun naluri dalaman dalam diri seseorang itu mungkin penting, ia tidak semestinya disokong apabila ia bertentangan dengan moral, norma dan agama.

Sedikit kekurangan tidak mewajarkan kita menjadi manusia baharu yang akan merosakkan seluruh kehidupan.

Sunber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU SOSIAL : Cuti sekolah peluang kukuh hubungan keluarga


Oleh : Izani Daud 

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan corak hidup anak pada masa depan sama ada menjadi hamba yang taat kepada Allah atau sebaliknya. Justeru, apa juga dirancang, perlu menjurus kepada hasil yang baik.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah menjadikan anaknya itu Yahudi, Nasrani ataupun Musyrik. Seorang sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana kalau dia mati sebelum ini? Rasulullah SAW bersabda: Allah mengetahui apa yang sudah, sedang dan yang tidak akan terjadi.” (Riwayat Muslim)

Musim cuti hujung tahun persekolahan tidak lama lagi dan ketika itu anak berada sepenuhnya di bawah jagaan ibu bapa. Jadi, masa ini seharusnya digunakan ibu bapa untuk memastikan waktu terluang anak dipenuhi aktiviti bermanfaat.

Pertamanya, ibu bapa hendaklah memastikan berlakunya kesinambungan pembelajaran kerana dalam tempoh lebih kurang dua bulan cuti persekolahan, jika tindakan sewajarnya tidak diambil boleh menyebabkan proses pembelajaran anak akan terputus.

Justeru, suatu jadual khusus sempena cuti akhir tahun ini hendaklah diadakan supaya anak tidak melupakan terus tanggungjawab sebagai pelajar. Jadual hendaklah memastikan anak bangun awal seperti hari persekolahan untuk menunaikan solat Subuh selain waktu melakukan aktiviti akademik.

Ibu bapa juga boleh mengambil kesempatan cuti sekolah untuk menghantar anak mengikuti kem motivasi yang dianjurkan atau kelas belajar al-Quran bagi mempertingkatkan kemahiran mereka membaca dengan betul.

Cuti persekolahan juga boleh digunakan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Ibu bapa digalakkan membawa anak menemui ahli keluarga atau waris supaya mereka mengetahui saudara dan dapat mengukuhkan hubungan sedia terjalin.

Pastinya kita tidak mahu anak kita tidak mengenali sepupu sendiri. Jika dibandingkan dengan dulu, hubungan sepupu ibarat adik beradik seperti yang ditunjukkan oleh ibu bapa kita. Sewajarnya amalan baik ini terus dipelihara.

Hubungan yang renggang berlaku kerana masyarakat sudah tidak prihatin untuk memelihara hubungan kekeluargaan sebaliknya lebih mementingkan kepada hubungan boleh mendatangkan keuntungan dari segi kebendaan.

Senario ini tidak seharusnya berlaku kerana boleh meruntuhkan institusi keluarga. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk merapatkan hubungan dalam kalangan anak sejak kecil lagi supaya kita dapat melahirkan sebuah masyarakat penyayang.

Musim cuti persekolahan juga waktu terbaik ibu bapa mendedahkan anak dengan aspek pengurusan diri dan asas pengurusan rumah tangga seperti mengajar mereka mengemas rumah, membasuh pakaian serta memasak.

Pastinya lebih menggembirakan anak ialah apabila ibu bapa membuat perancangan percutian di tempat menarik. Berehat bersama keluarga dapat memberi peluang ibu bapa memahami keperluan anak melalui perbualan sepanjang bercuti.

Apa juga perancangan ibu bapa, hendaklah memastikan anak dapat menikmati percutian dan pada masa sama belajar perkara yang boleh dimanfaatkan mereka dalam membentuk jati diri menjadi umat Islam yang akan berbakti kepada agama, bangsa serta negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Buang bayi macam campak sampah


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

Sejak belakangan ini, perbuatan membuang bayi berlaku semula, malah semakin menjadi-jadi. Bayi tidak berdosa itu diperlakukan dengan kejam - ada yang dicampak ke sungai dan dari rumah bertingkat. Ada yang masih janin lagi, dibuang dan digonggong anjing liar - umpama membuang sampah.

Seperti dilaporkan media, perbuatan kejam begitu dilakukan hampir kebanyakan gadis dan anak remaja yang hamil luar nikah bersama pasangan - mereka sama ada mahu menutup kesalahan atau takut diketahui ahli keluarga, jalan singkat ialah dengan membuang bayi. Bagi yang masih hidup, kita bersyukur dapat menyelamatkan bayi itu, tetapi bagaimana dengan bayi yang sudah tiada nyawa? Runtun hati melihatnya, apatah menyaksikan kematian cara tragis.

Justeru, ahli masyarakat harus sama-sama menangani gejala ini. Langkah-langkah penghindaran perlu dilakukan agar anak remaja tidak terlibat dengan seks bebas dan kembali ke pangkal jalan. Paling penting, membantu mereka agar tidak menjadikan cara membuang bayi sebagai pilihan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Dalam pada itu, anak remaja perlu menambah ilmu pengetahuan mengenai kemahiran keibubapaan, perlu sentiasa berkomunikasi dengan keluarga dan mendapat pendidikan agama secukupnya.

Bagaimanapun bukan semua ibu bapa sempurna dan mempunyai kemahiran keibubapaan untuk mengajar anak-anak. Justeru, ibu bapa perlu mempelajari kemahiran yang betul terlebih dahulu bagi mendidik anak-anak, tidak kira dari segi mental atau fizikal.

Selain itu, kawalan ibu bapa terhadap anak muda yang menjalin hubungan cinta pada awal usia harus diberi perhatian. Ahli keluarga perlu sentiasa mengambil berat antara satu sama lain. Hubungan erat boleh dijadikan sebagai benteng dan kekuatan ketika menghadapi sebarang masalah.

Namun, ibu bapa yang terlalu mengongkong anak akan membuatkan anak-anak suka menipu dan berkongsi masalah dengan teman lelaki atau perempuan yang lebih rapat dengan mereka. Ingatlah, peranan telefon pintar dan juga internet banyak mempengaruhi kebebasan remaja. Apabila sudah terlalu rapat dengan rakan yang dirasakan selesa dan mengambil berat, tidak mustahil perkara tidak dijangka berlaku. Sebaiknya, ibu bapa jadi rakan kepada anak-anak untuk mengetahui masalah mereka.

Ibu bapa jangan lepas tangan. Setiap ahli komuniti juga perlu menolong dan menyokong remaja yang mengalami masalah, bukan menyalahkan sebelah pihak sahaja. Orang awam juga boleh menjadi sukarelawan bagi membantu mengurangkan masalah pembuangan bayi yang tidak diingini supaya tidak terus berlanjutan.

Ahli dan pemimpin politik juga harus mengambil berat akan fenomena yang berlaku dalam masyarakat. Sebagai pemimpin seharusnya mereka berasa bimbang dengan keadaan ini.

Banyak perlakuan dan adegan menjolok mata berlaku di depan mata kita, tetapi kebanyakan daripada kita tidak berupaya menghalangnya, hanya melihatnya sahaja tanpa berani menegur atau melakukan sebarang usaha membanteras.

Sifat takwa dan keimanan akan membuahkan insan yang berjaya serta cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan. Semua pihak - ibu bapa, guru, ahli masyarakat, jawatankuasa masjid dan surau wajar melakukan usaha ini bagi membimbing remaja ke arah kebaikan.

Pendidikan terhadap anak remaja perempuan semakin sukar mestilah ditekankan dengan lebih berkaitan bahayanya seks bebas dan seks luar nikah. Sementara, remaja lelaki pula perlu dididik dan dibimbing supaya tidak terlibat dengan perzinaan yang menjurus kepada pembuangan bayi.

* Penulis pengamal media. PhD Persuratan Melayu UKM

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ubah cara ukur kejayaan pendidikan


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Peningkatan nilai gred purata subjek, sahsiah mesti seimbang

Perihal membicarakan mengenai pendidikan amat terkait rapat dengan pemain utamanya iaitu guru. Guru adalah kelompok barisan hadapan yang perlu memastikan proses pendidikan berlangsung dengan jaya. Kejayaan pendidikan bukanlah sekadar diukur dengan nilai gred purata subjek mahupun jumlah 'A', tetapi perlu kepada pertimbangan yang lebih luas membabitkan sahsiah dan keutuhan nilai dalam diri anak didiknya.

Menerusi pemerhatian yang dilakukan oleh Malik Bennabi merumuskan bahawa masalah pendidikan yang dihadapi oleh negara Islam adalah kegagalan melahirkan manusia yang terpadu antara keyakinan atau tauhid dengan tingkah laku dan akhlak serta mampu melahirkan penyelesaian terhadap permasalahan kehidupan. Beliau menyatakan: “...the origin of all the problems in the Muslim world is facing, is the disintegrated man.”

Permasalahan ini melahirkan kelompok manusia bertamadun, tetapi hilang keghairahan (jiwa) tamadun. Antara kesimpulan yang beliau berikan terhadap pendidikan adalah satu proses asimilasi (penghadaman) antara keyakinan dan nilai serta mampu memberikan jalan keluar terhadap permasalahan kehidupan.

Jika ini menjadi pokok pangkal kepada permasalahan pendidikan di negara Islam, maka golongan guru perlu menjadi golongan pertama yang mampu menjiwai watak ketamadunan dan mengubah sifat bangsa ke arah yang lebih mulia lagi.

Guru model semua aspek

Ungkapan Jawa yang dipetik oleh Dr Suwardi Endraswara dalam memperihalkan guru amat menarik. Ungkapan “digugu lan ditiru” bermaksud seorang guru itu mestilah boleh ditiru perkataannya, perbuatannya, tingkah lakunya, pakaiannya dan amalannya. Guru juga mesti boleh dipercayai akan amanahnya, bertanggungjawab serta jujur dalam semua aspek kehidupannya.

Tambah beliau lagi, perkataan ‘guru’ itu berasal daripada dua perkataan bahasa jawa. ‘Gu’ berasal daripada perkataan ‘gugu’ yang bermaksud boleh dipercayai, manakala ‘Ru’ berasal daripada perkataan ‘tiru’ bermaksud dicontohi atau dituruti. Maka maksud perkataan ‘guru’ itu adalah seseorang yang boleh diteladani kerana mempunyai pekerti tinggi dan dipercayai.

Dari sini suasana kerja seorang guru perlu kondusif untuk menghayati kriteria manusia bertamadun agar kriteria itu dapat diperturunkan kepada anak didiknya. Kriteria manusia bertamadun adalah manusia yang terpadu keyakinannya, daya fikirnya, nilai pegangannya dan amalan serta tindakannya. Kita tidak mahu melahirkan manusia yang menghayati dualisme, mengasingkan keyakinan dan amalan, dunia dan akhirat serta hilang arah dan tujuan hidupnya.

Suasana kerja guru yang menghambat nilai gred purata subjek perlu diubah. Fenomena guru dipersoal jika anak murid gagal mencapai nilai keputusan jangkaan (ETR) perlu dikaji semula. Sepatutnya pengetua mahu pun guru besar yang memanggil guru atau memberikan surat tunjuk sebab atas sebab yang dinyatakan di atas, perlu dipersoalkan tindakan yang menyimpang jauh daripada semangat pendidikan yang luhur. Begitu juga pengarah pelajaran negeri yang awal-awal lagi menetapkan sasaran nilai gred keseluruhan bagi negeri perlu dipanggil untuk memberikan penjelasan.

Ubah cara nilai guru

Kita keliru dengan ukuran kita sendiri. Apa salahnya jika menurunkan nilai purata gred subjek, tetapi menekankan pengurangan kes pelanggaran disiplin? Bukan menjadi keaiban mahupun kesalahan jika pencapaian akademik menurun berbanding tahun sebelumnya tetapi sahsiah pelajarnya jauh lebih baik berbanding pelajar tahun sebelumnya.

Begitu juga dalam hal kenaikan pangkat bukan menjadi ukuran mutlak pencapaian akademik pelajarnya, tetapi akhlak guru itu serta kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan guru dalam menjayakan proses pendidikan yang menyeluruh.

Ubah cara menilai terhadap guru, insya-Allah akan berubah penilaian guru terhadap muridnya. Penilaian terhadap guru perlu diubah bermula daripada latihan perguruan lagi. Calon guru mesti dalam kalangan yang mempunyai jati diri tinggi, berpendirian mulia dan mampu berhadapan cabaran dunia pendidikan. Jangan bertumpu pada pencapaian akademik semata-mata. Calon guru mestilah individu yang mampu menjadi suri teladan yang baik seperti disimpulkan pada peribadi Baginda Rasulullah SAW sebagai ‘uswah hasanah’.

Seharusnya kita memahami mengapa dalam mengkategorikan guru, Imam al-Ghazali meletakkan guru yang berperanan sebagai ‘muaddib’ berada pada tingkatan yang tertinggi. ‘Muaddib’ adalah guru yang beradab dan mampu mengadabkan anak didiknya. Jadi guru dan mereka yang mentadbir guru perlu bermuhasabah bagi menggaris hala tuju kerjaya perguruan.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http ; //www.bharian.com.my/