Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org
BARU-BARU ini
penaung diraja Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Raja Zarith
Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan keresahannya terhadap kemerosotan
penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini dengan menyorot
kepada kemungkinan ada rakyat yang menganggap tidak patriotik untuk mempelajari
bahasa itu.
Baginda juga
berkata, ada dalam kalangan mereka itu tidak dapat menerima bahawa menguasai
bahasa kedua tiada kena mengena dengan cinta kepada negara.
Tanggapan baginda
itu tidak salah, bahkan mungkin ada alasan. Malangnya, kenyataannya itu
diputarbelitkan sebuah stesen radio swasta yang diketahui mengabaikan
penggunaan bahasa Melayu untuk dijadikan bahan perbincangan satu rancangan bual
bicara edisi petangnya, Khamis lalu.
Stesen radio itu
dengan sengaja memberikan tanggapan lain daripada kenyataan Raja Zarith Sofiah
untuk dijadikan bahan perbincangan dengan pendengarnya. Tajuk yang digunakannya
ialah apakah perisytiharan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara
ini tindakan tidak patriotik dengan menyorot kepada apa yang dinyatakan Raja
Zarith Sofiah itu.
Tiada siapa pun
pernah menimbulkan perlunya bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua negara
sebagai usaha memaksa rakyat memberi tumpuan terhadap penguasaan bahasa itu.
Jauh sekali berpendirian usaha menguasai bahasa Inggeris adalah suatu perkara
tidak patriotik.
Ramai mengakui
penguasaan bahasa Inggeris memang merosot dan perlu dibaiki supaya dapat dikuasai
sejumlah besar rakyat negara ini sekiranya mahu melonjak menjadi negara maju
berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti.
Diakui kita
sebagai negara yang bergantung kuat kepada perdagangan antarabangsa harus dapat
menguasai bahasa itu dengan baik. Bahasa Inggeris sudah dianggap sebagai bahasa
antarabangsa. Ini tiada siapa pun menafikan termasuk pencinta bahasa Melayu.
Tetapi untuk menyatakan kononnya hanya dengan mengisytiharkan bahasa Inggeris
sebagai bahasa rasmi baru rakyat akan berusaha untuk menguasainya adalah syor
melampau, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan semangat patriotik seseorang kepada
negaranya.
Seperti diharapkan
pengendali acara bual bicara radio itu, ramailah antara mereka yang menelefon
memberi pandangan mempersoalkan kenapa penguasaan bahasa Inggeris mahu
dikaitkan dengan perasaan patriotik. Corak perbincangan itu lebih menjengkelkan
dengan kebanyakan pemanggil menyokong syor menjadikan bahasa Inggeris sebagai
bahasa rasmi kedua negara ini.
Mereka termasuk
ketiga-tiga pengacaranya tidak pula menyatakan apakah hanya dengan
perisytiharan itu baru rakyat memberi tumpuan penguasaan dan penggunaan bahasa
Inggeris?
Tidak dinafikan
ramai antara lulusan sekolah kebangsaan termasuk graduan institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) amat lemah penguasaan bahasa itu sehingga ada yang gagal
mendapat pekerjaan di sektor swasta.
Yang perlu
dilakukan ialah meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris sejak peringkat
sekolah rendah lagi.
Usaha ini sudah
dilaksanakan Kementerian Pelajaran dengan menambah masa pelajaran bahasa
Inggeris daripada 240 minit seminggu kepada 330 minit. Demikian pula bagi
pelajar di IPTA perlu diberi perhatian untuk menguasai bahasa itu dengan baik
sebelum diberi ijazah. Sehingga kini sebahagian besar graduan IPTA tidak
diterima berkerja oleh syarikat swasta kerana penguasaan bahasa Inggeris amat
lemah.
Malangnya oleh
kerana kelemahan itu ramai antara mereka dianggap tidak boleh berfikir dengan
baik. Pihak swasta seolah-olah mahu menyamakan pengetahuan dan kepintaran minda
seseorang dengan penguasaan bahasa Inggeris. Kurangnya penguasaan bahasa itu
mahu disamakan dengan daya pemikiran yang lemah. Apa kena mengena penguasaan
bahasa Inggeris dengan kepintaran minda seseorang tidak pula dinyatakan.
Baiknya usaha
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan sudah
dilaksanakan di beberapa IPTA. Usaha itu diharap bukan saja menyekat kemerosotan
penguasaan bahasa Inggeris tetapi meningkatkan penguasaannya dalam kalangan
ramai rakyat. Tentu usaha itu tidak memerlukan bahasa Inggeris diisytihar
sebagai bahasa rasmi kedua.
Walaupun tanpa
perisytiharan sedemikian ramai antara rakyat, khususnya kelas menengah dan yang
tinggal di bandar besar terus mengagungkan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi
pihak swasta hingga ada yang tergamak mengabaikan terus penggunaan bahasa
Melayu.
Bukan setakat itu
saja, hingga sekarang ini pun masih ramai rakyat tidak boleh bertutur bahasa
Melayu atau memahaminya. Ruangan ini sudah beberapa kali menimbulkan isu
kurangnya perhatian sesetengah rakyat negara ini terhadap penggunaan bahasa
Melayu kerana tidak fikir mereka perlu mengetahuinya kerana hanya mahu bergaul sesama
bangsa tanpa mahu berinteraksi dengan rakyat yang berlainan kaum.
Oleh itu, ramai
lulusan sekolah Cina masih tidak dapat menguasai bahasa Melayu walaupun lulus
dalam mata pelajaran itu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka
mempelajarinya hanya kerana terpaksa untuk lulus SPM bukan kerana mahu
memahaminya atau boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.
Mahkamah masih
perlu menyediakan jurubahasa kepada tertuduh keturunan Cina atau India kerana
mereka tidak boleh memahami pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu. Apakah
kesimpulan yang boleh kita ambil daripada keadaan demikian ini?
Bukankah keadaan
ini sudah berleluasa walaupun tanpa bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa
rasmi. Apa agaknya yang akan berlaku jika pengisytiharan demikian dilaksanakan?
Tentu lebih ramai rakyat negara ini akan terus mengabaikan penggunaan bahasa
Melayu. Mungkinkah ini yang dikehendaki orang sebegini?
Penulis ialah
Felo Kanan di UKM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan