GEORGE TOWN : Kementerian Pelajaran pada Rabu disaran
mengemas kini sukatan mata pelajaran Sejarah terutama bagi pelajar Tingkatan
Enam selaras dengan penemuan teori terkini dan penambahan maklumat oleh
sejarawan negara.
Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains
Malaysia (USM), Prof Datuk Abu Talib Ahmad berkata beberapa tahun kebelakangan
ini banyak aspek yang tercicir dalam subjek Sejarah dibangkit oleh ahli sejarah
melalui penyelidikan mereka.
"Sebagai contoh sudah sekian lama kita percaya bangsa
Melayu berasal dari Yunan tetapi hasil kajian terkini mendapati bangsa itu
datang dari Taiwan berkembang di Borneo seterusnya Palembang sehinggalah
beranak-pinak di Semenanjung," katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Antarabangsa Perantauan
Sumatera-Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak Pusat Penyelidikan Dasar dan
Kajian Antarabangsa (CEnPRIS) di kampus USM di sini.
Abu Talib berkata penekanan fakta sejarah juga perlu melihat
daripada semua aspek termasuk sosial, agama, budaya, makanan dan sebagainya,
bagi membantu pelajar memahami ilmu sejarah dengan lebih terperinci dalam
konteks yang lebih luas.
Sementara itu, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Muhammad
Salleh berkata tema dalam sukatan mata pelajaran juga perlu diperluas bagi
menarik perhatian generasi muda kerana subjek sejarah itu adalah kunci bagi
memupuk semangat nasionalisme kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Kurikulum di sekolah menggalakkan penghafalan
menyebabkan kebanyakan pelajar menjauhi mata pelajaran itu kerana ia
membosankan. Sebenarnya Sejarah itu lebih menarik jika watak dan kerangka waktu
dalam subjek dilakonkan semula," katanya.
Seminar tiga hari bermula hari ini menghimpunkan 26
pembentang dari institusi pengajian tinggi tempatan dan Indonesia bagi mengupas
23 kertas kerja mengenai perkembangan susur galur bangsa Melayu dan menggalakkan
kerjasama intelektual bangsa serumpun di rantau ini. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan