Oleh : FARUSH KHAN
Hari pertama menghantar saya ke sekolah, bapa saya
meninggalkan secebis kata keramat kepada guru: "Saya serah anak saya pada
cikgu. Hukumlah dia jika salah; janji jangan sampai cacat, sudahlah."
Saya bertuah mendapat Cikgu Miah sebagai guru besar. Selama
empat tahun di awal persekolahan, Cikgu Miah tidak pernah lupa membawa rotan
panjang ketika melawat setiap darjah. Beliau merenung tajam pada setiap murid
yang dihampirinya, tetapi ironinya, belum pernah sekali pun saya lihat rotan
yang diayun ke hulu ke hilir itu singgah ke badan mana-mana murid.
Semua murid suka dan hormat padanya serta patuh pada setiap
arahannya. Masuk kelas Special Malay, saya berhadapan dengan guru matematik, Mr
Lim. Orangnya gempal dan berperawakan menarik, tetapi ketika mengajar tiada
tolak-ansur.
Semua murid gerun dan hormat padanya serta patuh pada setiap
arahannya. Setiap kali ujian, semua murid berusaha melepasi 50 markah, kerana
jika kurang satu markah, hukumannya satu rotan di punggung dan seterusnya.
Saya kena 16 sebatan; peristiwa yang tidak akan saya lupa
sampai bila-bila. Ibu bapa saya tanya mengapa saya kena rotan, tetapi tidak
menunjukkan sebarang reaksi di depan saya, tetapi saya percaya di belakang
saya, mereka tentu gelak pecah perut.
Apa tidaknya, sakitnya kesan sebatan tidak terperi. Untuk
beberapa hari saya, terpaksa bertinggung atau duduk atas bantal waktu makan dan
meniarap untuk tidur. Selepas itu, saya tidak pernah lagi dapat kurang daripada
50 markah.
Di kampung, saya berhadapan dengan Pak Leman, guru al-Quran.
Mirip wajah arwah Ahmad Nesfu, pelakon zaman awal perfileman Melayu, Pak Leman
sering tersenyum, tetapi ketika mengaji, murid lelaki kena jaga-jaga; silap bacaan, rotannya
hinggap ke betis macam kilat. Dirotan di sekolah atau di kelas mengaji, saya
tidak pernah mengadu, sebab di rumah, bukan lagi rotan.
Kalau balik selepas azan Maghrib, umpamanya, hukumannya kayu
bakau. Hari ini penggunaan rotan di sekolah sering kali menjadi isu kontroversi
hingga diharamkan pada 2004, walaupun guru besar dibenarkan merotan murid di
dalam darjah di hadapan saksi.
Beberapa pihak meluahkan kebimbangan dengan peningkatan kes
disiplin murid dan mencadangkan beberapa langkah untuk menangani masalah itu.
Kebimbangan mereka tidak boleh dipandang ringan.
Kementerian Pelajaran melaporkan 16,000 kes ponteng di
sekolah rendah antara 2010 dan 2011. Di sekolah menengah bilangannya 11,000
pada 2010 dan 10,488 tahun sebelumnya. Banyak tindakan telah diambil bagi
menangani masalah disiplin murid; peraturan dikuatkuasakan, kempen dan
pemeriksaan mengejut dilancarkan, talian panas dan badan pencegah jenayah
diperkenalkan.
Itu tidak masuk bantuan pengawasan polis dan guru
kaunseling, namun kesannya tidak seberapa. Jadi apakah rotan dapat membantu
menukar anak-anak kita yang kurang berdisiplin kepada insan yang lebih baik?
Yang ketara rotan barangkali boleh menimbulkan perasaan
takut, tetapi tidak semestinya hormat dan sesuatu yang dipatuhi tanpa hormat
biasanya tidak bertahan lama.
Kerana malu dan marah, tindakan merotan boleh mewujudkan sikap
memberontak dan akibatnya lebih buruk. Apatah lagi pada zaman sekarang apabila
remaja lebih terdedah kepada pelbagai anasir melalui Internet dan pergaulan,
dengan lebih ramai ibu bapa bekerja dan guru yang kurang komited.
Sebab itu, pakar psikologi selalu mengingatkan ibu bapa
supaya menjaga tindakan dan amalan supaya menjadi teladan kepada anak-anak,
mendidik anak supaya menjadi matang, tidak mudah marah dan stres.
Sekiranya ibu bapa tidak dapat mendidik anak menjadi insan
baik dan berguna, janganlah salahkan guru jika tidak dihormati murid. Ibu bapa
yang terlalu melindungi anak daripada tindakan guru hingga tidak boleh dijentik
dan dimarahi mengundang bahaya.
Kes-kes di mana ibu bapa bertindak melaporkan hukuman guru
yang agak tegas terhadap murid hanya menimbulkan perasaan takut dalam kalangan
guru untuk terus menanamkan disiplin dalam kalangan murid. Mereka mengajar
hanya untuk memenuhi tugas, tidak lebih daripada itu.
Ada pakar psikologi yang berasa sebenarnya rotan bukan
satu-satunya cara untuk menjaga disiplin. Disiplin juga perlu ditanam melalui
kaedah hadiah. Maknanya mereka yang tidak berdisiplin dihukum, sementara yang
baik diberi hadiah.
Tidak memberi benda yang mereka suka seperti ais krim, menonton
TV, makanan segera, main permainan di komputer juga dikira sejenis hukuman. Ia
membuat mereka 'sakit' dan menyesal dan berazam tidak mahu mengulangi kesalahan.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan