Oleh ARIF ATAN
DILAPORKAN setakat ini terdapat kira-kira 75 peratus
pembantu rumah warga Indonesia daripada jumlah lebih 200,000 amah asing yang
berkerja di Malaysia. Seramai 30,000 orang pula adalah orang Kemboja dan
bakinya dari negara lain.
Akibat permintaan yang terus meningkat, Malaysia dikatakan
memerlukan kira-kira 100,000 amah Indonesia lagi.
Tidak hairanlah negara jiran seberang itu mengenakan
pelbagai tuntutan kepada Malaysia sebelum ini lantaran kebergantungan kita
kepada mereka dalam membekalkan warganya sebagai amah di sini.
Paling ketara apabila Indonesia mahukan rakyatnya yang
menjadi pembantu rumah di negara kita diberi gaji bulanan minimum sebanyak
RM700 selain tidak dikenakan lebih daripada satu beban tugas.
Oleh itu, syor supaya kita mengambil amah dari kalangan
wanita Islam Kemboja, Vietnam, selatan Thailand dan selatan Filipina
terutamanya seperti yang disuarakan oleh Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin
adalah praktikal untuk dilaksanakan.
Namun, ikhtiar untuk membendung keegoan Indonesia itu juga
harus perlu mengambil kira beberapa perkara. Pertama, kuatkuasakan peraturan
supaya amah yang terdiri daripada wanita Islam dari negara rumpun Melayu itu
dikhususkan untuk majikan beragama Islam di negara ini.
Kita tidak mahu lagi mendengar kes-kes penderaan majikan
terhadap amah Indonesia yang beragama Islam kerana perbezaan latar agama dan
budaya akan "berpindah" pula selepas ini kepada kelompok amah Muslim
terbabit.
Jika tidak, dikhuatiri pada masa depan kita hanya akan
mengulang kitar semula isu yang kemudiannya bagi jangka panjang menjejaskan
hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara
ini.
Seterusnya, mencemar imej Malaysia sebagai negara yang
sinonim dengan agama Islam walaupun kes-kes terpencil itu dilakukan mungkin
oleh majikan yang sebahagian besarnya bukan beragama Islam.
Kedua, pada ketika Malaysia mempertimbangkan untuk
mengimport amah beragama Islam dari wilayah jiran tetangga, ada baiknya dalam
masa sama kita menawarkan kerja pembantu rumah ini kepada golongan wanita
tempatan yang dari latar sosio-ekonomi rendah tetapi tinggi semangatnya untuk
bekerja.
Mereka ini bertebaran di seluruh ceruk tanah air sama ada di
kawasan bandar, kampung mahupun pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak;
komuniti Orang Asli serta ibu tunggal adalah antara kelompok modal insan yang
boleh dimanfaatkan untuk mengisi permintaan tinggi sumber tenaga pembantu
rumah.
Dengan langkah ini, mereka yang bukan beragama Islam boleh
disalurkan untuk berkhidmat dengan majikan bukan beragama Islam. Tidak seperti
hari ini. Ramai amah Indonesia Muslim ditempatkan bersama-sama majikan yang bukan
beragama Islam yang kemudiannya mengundang konflik kerana sensitiviti agama dan
budaya.
Melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia dengan pihak
lain terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
langkah tersebut bukanlah mustahil untuk dilaksanakan segera.
Tambahan kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini akan
mendesak mereka untuk menyahut seruan menjadi pembantu rumah bagi pelan jangka
panjang mengurangkan kebergantungan kita kepada amah asing.
Daripada terus membiarkan mata wang kita mengalir begitu
sahaja ke luar negara ada baiknya terlebih dahulu mengalir ke kantung rakyat
kita sendiri. Golongan wanita berbilang kaum di negara ini sebenarnya adalah
aset penting yang rugi jika tidak dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan sumber
tenaga buruh seperti amah.
Selain itu, daripada perspektif sosio-budaya, hanya pembantu
rumah tempatan yang lebih memahami bahasa, budaya termasuk kerenah majikannya.
Begitu juga dengan pihak majikan. Lebih mudah untuk kita mengurus dan memahami
keperluan dan gelagat pembantu rumah tempatan.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula interaksi sosial
antara pembantu rumah tempatan dengan majikan mereka. Sekiranya berlaku juga
kes-kes berkaitan perselisihan faham, hal itu hanya berlaku dan 'habis' di
negara ini sahaja. Tidaklah sampai kita dicemuh oleh media di negara luar yang
umumnya tidak memahami variasi kaum di negara ini.
Alternatif untuk kita tidak terlalu bergantung kepada amah
asing terutamanya dari Indonesia sebenarnya ada di negara ini. Syaratnya, pihak
kementerian berkaitan harus segera merangka mekanisme pelaksanaan berserta skim
atau insentif tertentu yang mewujudkan situasi menang-menang di pihak majikan
dan pembantu rumah tempatan.
PENULIS ialah peneliti sosial dan budaya masyarakat.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan