Rabu, 6 Jun 2012

ISU ALAM SEKITAR : Awas Perangkap Maut



Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

Risiko lelap dalam kenderaan, sedut maut karbon monoksida boleh ragut nyawa

SEBANYAK 11,547 kes kematian akibat karbon monoksida dilaporkan Amerika Syarikat dan 60 peratus daripadanya disebabkan ekzos kenderaan bermotor. Malah, sejumlah 15,000 mangsa dilaporkan dimasukkan ke jabatan kecemasan setiap tahun akibat secara tidak sengaja terdedah kepada karbon monoksida.

Itu yang dilaporkan di Amerika Syarikat. Bagaimana pula di tempat lain? Sesungguhnya, kematian dalam kereta akibat terhidu gas beracun sama ada berunsurkan kecuaian atau jenayah, bukan lagi kes terpencil, sebaliknya fenomena di seluruh dunia.

Banyak kes kematian dilaporkan akibat terhidu gas monoksida. Di Malaysia misalnya, ‘amalan’ pemandu singgah di pusat Rehat dan Rawat (R&R) selepas kepenatan atau mengantuk selepas memandu jauh, lalu berehat di dalam kereta dengan enjin terpasang, kemudian tertidur, sudah kerap kedengaran.

Ada kes individu menunggu seseorang di dalam kereta kemudian tertidur. Tidak kurang ada yang tinggalkan anak di dalam kereta dengan enjin dan penghawa dingin dipasang untuk melakukan sesuatu urusan. Tindakan itu tidak bijak dan mengundang bahaya. Paling mengecewakan, ramai yang tidak tahu wujud risiko bakal menunggu jika terlalu lama di dalam kenderaan.

Malah, baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tragedi kematian lima beranak dalam bengkel di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Masai. Dipercayai lemas, dalam kereta yang berkunci dari dalam. Ketika ditemui, mayat lelaki pemilik bengkel itu berada di tempat duduk pemandu manakala mayat isterinya bersama anak berusia empat tahun, dipangku berada di kerusi bersebelahan. Mayat dua lagi anak mereka masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun ditemui di tempat duduk belakang.


Bagaimanakah kenderaan yang dianggap sebagai pelindung, sebaliknya mampu menjadi perangkap maut?

Aktivis keselamatan dan pengurusan bencana, K Balasupramaniam optimis menyatakan kelalaian manusia menyebabkan segala-galanya boleh berlaku tanpa diduga.

Menjelaskan kenyataannya itu, katanya, seseorang tidak tahu bila akan ‘merasa mengantuk dan mula tertidur’ di dalam kereta dan dalam keadaan itu karbon monoksida mungkin sudah memenuhi paru-paru menyebabkan lemas.

“Sebab itu, kita perlu elakkan daripada tidur dalam kereta. Ia bukan tempat berehat atau ‘menunggu’ oleh kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa, walaupun dalam tempoh singkat.

“Ini kerana ada kalanya ketika ingin menguruskan sesuatu, anak yang ingin kita tinggalkan hanya 5 minit boleh bertukar sejam,” katanya.

Balasupramaniam yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam usaha pengendalian bencana dan kecemasan di dalam dan luar negara, berkata, perlu diketahui, gas karbon monoksida terhasil akibat pembakaran bahan api seperti petrol yang tidak sempurna seterusnya dilepaskan melalui ekzos kenderaan dan masuk ke dalam bahagian kenderaan melalui kebocoran di bahagian tertentu seperti tingkap, bonet dan sebagainya.

Enjin kereta yang baru diselenggara, biasanya mempunyai tahap kesempurnaan pembakaran tinggi berbanding dengan enjin kereta jarang diselenggara.

Ia bukanlah disebabkan oleh sistem pendingin hawa. Sistem itu hanya bertindak sebagai pengalir haba dan menyejukkan ruang dalam kereta dan bukannya membekalkan karbon monoksida.

“Gas karbon monoksida berbahaya kerana ia boleh kekal dalam sistem darah tubuh. Semakin banyak gas ini disedut maka semakin banyaklah kuantitinya dalam darah manusia. Ketumpatan gas monoksida dalam sistem darah manusia menyebabkan kekurangan kandungan oksigen dalam darah. Kekurangan oksigen inilah yang akan membawa kepada kesan anggota badan khususnya sistem saraf dan otak yang mana pada tahap tertentu boleh membawa menyebabkan koma dan seterusnya maut,” katanya.

Persoalannya, bagaimana gas monoksida ini boleh disedut tanpa disedari?

Ada beberapa faktor menyebabkan kejadian itu berlaku. Sebab utama paling nyata ialah berlaku kebocoran aliran udara luar ke bahagian dalam kenderaan.

Katanya kebocoran itu mungkin disebabkan ada lubang bawah kereta, pintu yang tidak rapat terutama bonet belakang, lubang brek tangan dan beberapa faktor lain.

“Insiden ini biasa berlaku ketika enjin kereta dibiarkan hidup berterusan ketika berhenti rehat menyebabkan gas karbon monoksida yang terhasil ketika pembakaran, meresap masuk ke dalam kereta.

“Bagaimanapun jika keracunan itu berlaku ketika sistem pendingin hawa dihidupkan, kemungkinan besar ada campuran gas karbon monoksida dalam aliran udara luar yang masuk melalui sistem pengudaraan kereta. Saluran aliran udara luar sepatutnya tertutup, sekiranya pengguna memilih menggunakan kitaran udara dalaman tanpa membabitkan udara luar.

“Risiko tersedut karbon monoksida adalah rendah bagi kenderaan kedap dari udara luar. Bagaimanapun, siapa yang dapat pastikan kenderaan mereka betul-betul kedap. Kenderaan baru juga kadangkala ada ‘kebocoran’ tetapi dikhuatiri kita tidak perasan mengenainya,” katanya.

Justeru, Balasupramaniam tidak menafikan kereta yang digunakan untuk kemudahan urusan harian mampu bertukar menjadi musuh meragut nyawa, tanpa disedari, jika orang ramai terlalu lalai dan kurang pengetahuan mengenainya.

Tempat parkir boleh ancam nyawa

KENDERAAN yang mempunyai masalah kebocoran pada mana-mana komponennya boleh mengakibatkan individu yang berada di dalamnya ketika enjin dibiarkan hidup dalam jangka masa tertentu berhadapan dengan risiko terdedah kepada keracunan gas.

Pada masa sama, individu yang sedang berehat di dalam kereta tidak terlepas daripada terhidu gas beracun meskipun sistem pendingin hawa dimatikan.

Justeru, orang ramai sepatutnya mengelakkan risiko terperangkap daripada pembebasan gas beracun karbon monoksida hasil kebocoran kenderaan.

Risiko keracunan rendah ketika kenderaan bergerak atau berhenti berehat di kawasan yang berangin berbanding kawasan tertutup, walaupun enjin kereta dihidupkan secara berterusan.

Ketika ditanya Balasupramaniam, adakah ‘kematian’ jenis ini ‘tidak’ dirasai azabnya seperti mangsa tersedar dari tidur, beliau menjelaskan, kematian membabitkan gas ini tidak sama seperti kematian lain.


“Ketika tidur, deria dan pancaindera termasuk rasa dan bau, boleh mengejutkan kita dari tidur, tetapi dalam keadaan ini, karbon monoksida akan masuk ke dalam paru-paru dan akibatnya tubuh badan akan kekurangan oksigen hingga membawa maut.

“Contohnya, dalam kes kebakaran. Mangsa yang tertidur akan terjaga, bukan disebabkan kehadiran asap, sebaliknya rasa panas akibat api yang semakin marak. Mangsa akan terbangun sebab deria merasai panas. Ia berlaku bila 1/3 daripada cecair tubuh badan menjadi sejat, menyebabkan tubuh berada dalam keadaan tidak selesa. Tetapi dalam keadaan keracunan karbon monoksida, asap itu akan memenuhi paru-paru. Apabila ia masuk semakin banyak, mangsa boleh sesak nafas. Dalam keadaan itu otak mangsa panik, keliru dan tidak mampu berfungsi lagi dan ia berlaku dalam keadaan mangsa itu tidur,” katanya.

Balasupramaniam berkata, kematian dalam kereta boleh dijelaskan sebagai disengajakan atau tidak sengaja.

Sengaja membabitkan insiden bunuh diri atau kes pembunuhan, di mana secara jelas saluran getah akan disambung dari ekzos ke dalam kereta.

Namun, kejadian dianggap tidak sengaja apabila tidak bukti wujud unsur jenayah, sebaliknya mangsa ketika ditemui bagaikan orang yang sedang tidur.

“Anda jangan terkejut kalau saya katakan dalam beberapa kes di kawasan perumahan bandar seperti pangsapuri, ada orang yang mengambil jalan mudah tidur dalam kenderaan dengan pendingin hawa dihidupkan bila bekalan elektrik terputus atau rosak.

“Lokasi turut mempengaruhi. Keadaan garaj bertutup atau tempat parkir di bahagian bawah tanah, boleh meningkatkan risiko keracunan karbon monoksida berbanding berada di kawasan tempat kereta lapang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengelak meletakkan kenderaan dengan muncung ekzos menghala ke pintu masuk kediaman.

“Ini kerana bagi orang yang suka panaskan enjin dalam tempoh lama, asap itu boleh masuk ke dalam rumah melalui celahan pintu atau tingkap dan mungkin meracuni ahli keluarga,” katanya.

INFO:

Perlu tahu :

Usah meremehkan tempoh selenggara kenderaan. Disiplinkan diri hantar di bengkel profesional sama. Tujuannya mengelakkan penggunaan gas penyaman udara berbeza setiap bengkel.

Jangan biasakan tidur dalam kenderaan kerana tidak tahu ‘bila kita akan tertidur’.

Sekiranya terdesak berada dalam kereta, pastikan persekitaran luas dan terbuka. Walaupun enjin kereta tidak dihidupkan, asap ekzos daripada kenderaan lain mungkin menyelusup masuk ke dalam kenderaan anda.

Risiko keracunan adalah amat kecil ketika kenderaan bergerak atau berhenti rehat di kawasan berangin, walaupun enjin dihidupkan secara berterusan.

Elakkan risiko keracunan gas, pastikan kenderaan mempunyai tahap kebocoran aliran udara dari luar yang paling minimum.

Keracunan karbon monoksida berlaku selepas menghirup karbon monoksida sejenis gas sangat bertoksik. Gas itu tidak mudah dikesan kerana ia tidak berwarna, berbau, berasa, dan merengsakan.

Karbon monoksida ialah hasil daripada pembakaran bahan organik tanpa bekalan oksigen yang mencukupi dan seringnya dihasilkan di dalam persekitaran rumah dan perindustrian kenderaan bermotor atau alat kuasa gasolin, pemanas, dan kelengkapan masak. Pendedahan terhadap karbon monoksida pada 100 bahagian per juta (ppm) atau lebih, boleh membahayakan kesihatan manusia.

Keracunan karbon monoksida antara kaedah paling biasa digunakan membunuh diri, iaitu dengan sengaja menghirup asap ekzos dihasilkan enjin kereta yang hidup. Ia juga dikatakan menyebabkan apa yang digelar rumah berhantu. Gejala seperti ‘delirium’ dan ‘halusinasi’ diakibatkan keracunan karbon monoksida menyebabkan individu berfikir mereka nampak hantu atau mempercayai rumah berhantu.

Sistem pendingin hawa kereta serupa dengan sistem pendingin hawa ‘split unit’ yang dipasang di rumah dan pejabat. Apa yang membezakan ialah sumber tenaga yang menjanakan sistem berkenaan.

Komponen utama sistem pendingin hawa ialah ‘compressor’ dan ‘refrigerant’ atau gas lengai ada dalam kitaran mampatan sistem penyejukan pendingin hawa. Gas inilah boleh diisi semula apabila kesan penyejukan pendingin hawa berkurangan.

Kadar kehilangan gas ini adalah terlalu kecil dan kadangkala memakan masa sehingga bertahun-tahun diisi semula membuktikan keracunan karbon monoksida bukanlah disebabkan sistem pendingin hawa.

FAKTA

Antara kes tragis:
  • Seorang kontraktor ubahsuai bangunan yang tidak pulang ke rumah selepas melakukan kerja pengubahsuaian di sebuah kilang pemasangan kereta, ditemui mati dalam keretanya di Jalan Segambut. Beliau ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan darah pada hidung di kawasan parkir di hadapan kilang oleh kakitangan Nissan Tan Chong Motor. Anak mangsa, memberitahu polis, seorang pekerja yang menemui mayat bapanya menghubunginya memaklumkan kejadian itu.
  • Seorang wanita berusia 50-an ditemui mati di dalam keretanya di tempat letak kereta sebuah pusat kesihatan di Gunung Rapat, Ipoh. Mayat wanita itu ditemui di dalam kenderaan jenis Perodua Kembara kira-kira jam 1.30 petang oleh orang awam yang melalui kawasan itu.
  • Ketika ditemui, mangsa tidak sedarkan diri dengan enjin kenderaan sudah dimatikan. Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mayat Ainon dalam keadaan tersandar di tempat duduk kerusi pemandu dengan kesan kebiru-biruan di beberapa bahagian badan tanpa menemui sebarang senjata.
  • Empat sekeluarga yang ditemui mati dalam kereta di sebuah ladang kelapa sawit kira-kira empat kilometer dari Kota Tinggi.
  • Seorang pemuda ditemui mati di dalam kereta dipercayai akibat asap yang disalurkan ke dalam kereta berkenaan di Ulu Temiang, Seremban. Mangsa ditemui mati oleh penduduk kampung berhampiran yang melalui jalan itu. Menurut kenyataan polis, setiba di tempat kejadian mendapati enjin kereta masih hidup dan mangsa dipercayai menyalurkan asap dari ekzos keretanya ke dalam melalui getah paip.
  • Sepasang kekasih ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai lemas kerana terhidu gas karbon monoksida dalam sebuah kereta di garaj sebuah pusat mencuci kenderaan di Seksyen 17, Shah Alam. Mayat pasangan itu ditemui seorang rakan mereka yang menetap di kontena berdekatan pusat mencuci kenderaan, dalam keadaan enjin dan penghawa dingin kereta terpasang, kira-kira jam 9 pagi dan diklasifikasikan secara mati mengejut.
  • Seorang budak lelaki berusia empat tahun dijumpai mati dalam kereta selepas dia ditinggalkan oleh bapanya, yang tidak menyedari anak bongsunya tertidur dalam kenderaan berkenaan. Bapanya, dikatakan tidak menyedari anaknya tidur dalam kereta itu. Selepas lebih dua jam, lelaki berusia 37 tahun itu kembali ke keretanya dan terkejut menjumpai anaknya tidak sedarkan diri.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan