BENTONG : Penyakit radang sendi atau Rheumatoid Athritis
(RA), khususnya dalam kalangan wanita, di negara ini dilihat semakin
membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata ini kerana penyakit itu menyerang wanita tiga
kali ganda lebih berbanding lelaki.
"Sehubungan itu, kesedaran mengenai penyakit berkenaan
perlu disebarluaskan kepada masyarakat agar mereka mendapat rawatan awal bagi
mengelak kecacatan.
"Penyakit RA dalam kalangan rakyat Malaysia adalah serius,
dan kira-kira 52 peratus pesakit tidak dapat kembali bekerja kerana mengalami
kecacatan akibat gagal mendapat rawatan awal," katanya kepada pemberita
selepas Program Meet My Wira (Malaysian Women In Rheumatoid Arthritis) di
Hospital Bentong, Sabtu.
Liow berkata masyarakat juga diingat tidak memandang ringan
penyakit itu dan perlu mengubah persepsi bahawa ia hanya menyerang golongan
dewasa.
"Perlu diingatkan, kanak-kanak juga ada yang diserang
penyakit ini kerana mengikut kajian, 42 peratus daripada pesakit RA di negara
ini adalah dari kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke bawah.
"Jika ramai dari kalangan mereka yang masih muda
diserang penyakit ini, ia akan memberi kesan terhadap institusi
pekerjaan," katanya.
Mengulas kekurangan tenaga pakar penyakit RA di negara ini,
beliau berkata Kementerian Kesihatan kini berusaha menambah dan melatih pegawai
perubatan dalam bidang berkenaan secara berperingkat.
"Kini kita mempunyai 23 doktor pakar dalam bidang RA
yang merawat pesakit dewasa manakala seorang pakar RA untuk kanak-kanak dan dua
lagi sedang menjalani latihan," katanya sambil menambah pakar RA terdapat
di setiap negeri kecuali Kedah dan Perlis.
Dalam perkembangan berkaitan, Liow berkata kempen My Wira
yang digerakkan ke seluruh negara mendapat sambutan positif daripada rakyat,
badan bukan kerajaan dan swasta.
"Dengan kerjasama ini, kita berharap kesedaran dalam kalangan masyarakat dapat dipertingkat dan pada masa sama, rakyat sedar bahawa
kerajaan akan sentiasa menyediakan kemudahan kesihatan yang terbaik untuk
rakyat," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan