Sabtu, 14 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Sistem Pendidikan Dirombak Tahun Depan



Oleh LUQMAN HAZIQ dan IFQDAR A. RAHMAN

JOHOR BAHRU, 14 Julai - Dasar Pendidikan Negara bakal dirombak semula mulai tahun depan bagi mewujudkan sistem lebih berkualiti serta mampu melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi seiring dengan usaha ke arah menuju negara berpendapatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara akan diambil kira dalam merangka dan melaksanakan usaha penting tersebut.

"Itu yang kita harapkan (rombakan besar-besaran) dan ia merupakan satu anjakan berganda dalam sistem pendidikan negara. Dialog ini amat penting dalam kita merangka Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025) dan Pelan Strategik Pendidikan (2013-2015)," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 di KSL Resort di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelan pembangunan dan pelan strategik itu merangkumi program jangka pendek, sederhana dan panjang.

"Ia amat penting dan kita berharap bidang pendidikan perlu dibaiki dan dapat dilaksanakan segera. Ini perkara besar dan kita kena ambil kira banyak perkara serta melaksanakannya mengikut fasa-fasa," ujarnya.

Muhyiddin berkata, sekiranya pelan tersebut dapat dilakukan lebih awal dari 15 tahun, maka sistem pendidikan negara mampu dilonjakkan setanding dengan negara maju lain.

Menurutnya, selain hasil dialog tersebut, pelan pembangunan dan pelan strategik yang akan dilaksanakan nanti juga mengambil kira pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian panel bebas dan panel antarabangsa yang dilantik.

Menurutnya, hasil dialog itu akan dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada beliau untuk dibawa ke Kabinet sebelum hujung tahun ini bagi kelulusan dan seterusnya dilaksanakan pada tahun depan.

Mengenai hasil dialog yang bermula April lalu dan menjelajah ke seluruh negara, Timbalan Perdana Menteri berkata, lebih 10,000 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum dan profesion telah memberikan maklum balas secara lisan dan bertulis.

"Ada tiga perkara yang agak popular dibangkitkan iaitu yang pertama berkaitan guru seperti profesionalisme keguruan, kebajikan guru dan proses pengajaran. Kedua mengenai aspirasi iaitu soal sistem dan masalah pelajar dan ketiga kualiti sekolah yang melibatkan struktur, infrastruktur, jenis sekolah dan lain-lain," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, secara umumnya Kementerian Pelajaran mengenal pasti sembilan bidang keutamaan untuk membina sistem pendidikan yang berkualiti iaitu guru, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, penguasaan pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kecekapan dan keberkesanan sumber Kementerian Pelajaran dan kapasiti serta keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran.

Menurutnya, hasil daripada kajian, tinjauan melibatkan 2,551 responden juga mendapati 61 peratus responden amat yakin bahawa kajian semula pendidikan negara mampu menyediakan pelajar untuk menghadapi abad ke-21.

Malah 73 peratus sangat berkeyakinan pendidikan di Malaysia mampu mencapai tahap global pada masa akan datang.

"Dapatan ini menjadi sumber kekuatan kepada Kementerian Pelajaran kerana rakyat sendiri secara jujur menyatakan keyakinan dan kepercayaan terhadap usaha yang dijalankan kementerian.

"Atas dasar persamaan pandangan dan cita rasa itu, kementerian dan semua lapisan masyarakat akan dapat menggembleng tenaga dan berganding bahu untuk memajukan pendidikan di negara ini," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan