Sabtu, 14 Julai 2012

ISU SOSIAL : Ramai maut di tangan peragut



Oleh : NIZAM YATIM

PADA Ahad lalu kita dikejutkan dengan berita sedih seorang kerani akaun, Tang Mui Choo, 35, meninggal dunia di Hospital Melaka selepas 23 jam bertarung dengan maut akibat cedera parah kerana diragut.

Mangsa yang masih bujang mengalami kecederaan teruk di kepala dan patah tulang rusuk sehingga menikam paru-parunya, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Sehari sebelum itu, Mui Choo yang menunggang motosikal ke tempat kerjanya pada pukul 8.05 pagi, diragut dua lelaki bermotosikal sehingga menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa terjatuh di atas jalan raya.

Tragedi yang menimpa Mui Choo mengingatkan kita kepada banyak lagi kes seumpamanya yang telah dialami rakyat Malaysia berbilang kaum.

Setiap hari, pasti ada laporan kes itu dan paling menyedihkan kebanyakan mangsa ialah golongan wanita yang mengalami kecederaan parah atau maut.

Kita masih ingat, satu kisah menyayat hati melibatkan Siti Delima Aladdin, 43, yang maut ketika mengejar peragut sejauh enam kilometer di Bachok, Kelantan.

Ketika kejadian pada Disember 2011, ibu kepada tujuh anak maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar tiang elektrik ketika mengejar dua penjenayah yang meragut dompetnya di Beris Kubur Besar.

Tahun 2009 pula, adalah tahun yang paling banyak dilaporkan kejadian jenayah ragut antaranya melibatkan wanita hamil dua bulan, Jamilah Selamat, 31, yang meninggal dunia selepas koma dua hari.

Dia cedera teruk di kepala selepas diragut di Taman Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor kira-kira pukul 7.15 malam

Jurujual di kedai kraftangan di pekan Ayer Hitam itu meninggalkan suami, Razali Ahmad, 41, serta dua anak, Nor Asyikin, tujuh, dan Mohd. Khairi Ridwan, lima.

Pada tahun sama, Saripah Mohd. Noor, 34, maut dirempuh sebuah kereta setelah terjatuh daripada motosikal akibat diragut dua pemuda bermotosikal di Kampung Padang Raja Melor, Kelantan kira-kira pukul 10.50 pagi.

Ibu yang hamil empat bulan itu meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala, kaki dan badan.

Mangsa yang hanya mempunyai wang tunai RM2 dalam begnya ketika kejadian meninggalkan lima anak iaitu Nur Idayu, 13, Mohd. Saifullah, 11, Mohd. Shawal Nabil, lapan, Nurul Akmal Alisa, enam, dan Siti Najwa, satu, serta ibunya, Hashimah Hussin, 54, untuk selama-lamanya.

Selain kematian, ada mangsa yang menanggung kesakitan akibat kecederaan seperti dialami Sharifah Hikmah Lokman, 40, yang terjatuh daripada motosikal dalam kejadian ragut di Kota Bharu pada 2009.

Turut menjadi mangsa pada tahun sama ialah isteri bekas jurulatih badminton kebangsaan, Rexy Mainaky iaitu Henny, 41, yang cedera diseret setelah diragut semasa keluar dari sebuah restoran di Ampang City, Selangor.

Kejadian tersebut membuktikan kes ragut yang kebanyakan dilakukan oleh penagih dadah masih lagi berleluasa walaupun kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasinya.

Ini termasuk meletakkan matlamat menurunkan kadar jenayah ragut dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bagi Mengurang Kadar Jenayah.

Untuk mengetahui betapa serius kejadian ragut di negara ini, kita hanya perlu melayari laman ensiklopedia dalam talian, Wikipedia yang hanya menyebut satu negara iaitu Malaysia sebagai tempat berlakunya jenayah ragut.

Yang amat menyedihkan adalah ketika jenayah ini berlaku, kebanyakan orang ramai hanya menjadi pemerhati sahaja, mungkin kerana mereka takut untuk menolong.

Ada kes, orang ramai tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas dan peragut bermotosikal hilang sekelip mata.

Selain pemantauan lebih kerap oleh pihak polis, sudah tiba masanya aspek hukuman sedia ada dikaji semula kerana didapati ia belum cukup gerun untuk menakutkan penjenayah.

Peragut biasanya dikenakan hukuman di bawah Seksyen 392 hingga Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hukuman di bawah seksyen sama juga dikenakan terhadap pesalah jenayah samun dan rompak.

Sudah sampai masanya, peruntukan khusus yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap peragut diwujudkan kerana perbuatan itu sering mengakibatkan mangsa cedera parah dan terdapat juga sebilangan mereka yang maut.

Para hakim seharusnya mengenakan hukuman paling maksimum. Misalnya, dalam kes kematian Jamilah, banyak pihak menganggap hukuman terhadap peragutnya, Mohd. Ariffin Anang, 26, iaitu penjara 15 tahun serta sebatan 10 kali adalah tidak setimpal.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga perlu mencontohi langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah memasang pagar dawai bagi memisahkan jalan raya dan kawasan pejalan kaki untuk mengurangkan kejadian ragut.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan