Sabtu, 14 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Politeknik wadah lahirkan penginovasi hebat


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
rencana@hmetro.com.my
         
PENGAJIAN bidang teknikal dan vokasional terus berkembang pesat sejajar keperluan tenaga pakar dalam sektor industri, sekali gus menjadikan pendidikan berkenaan sebagai antara fokus utama negara.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) memperkenalkan strategi terbaru dalam memantapkan pendidikan teknikal dan vokasional dengan menubuhkan Politeknik Metro.

Politeknik yang berkonsepkan Open Distant Learning (ODL) dibina dengan matlamat memperluas peluang dan ruang setiap lapisan masyarakat untuk menimba ilmu serta memperoleh kemahiran tinggi dalam bidang kepakaran teknikal.

Politeknik Metro juga bertujuan memberi peluang kepada golongan berkerjaya untuk mendalami ilmu teknikal, sekali gus sebagai wadah pengamalan pembelajaran sepanjang hayat. Meskipun berkonsepkan ODL, namun Politeknik Metro tetap menjalankan sesi penyampaian berorientasikan proses pembelajaran dan pengajaran berasaskan penggunaan teknologi maklumat secara optimum.

Kini ruang dan peluang untuk rakyat khususnya yang bekerja meneruskan pembelajaran di peringkat tinggi dalam aspek teknikal sudah disediakan. Ini sekali gus membuka lembaran baru sistem pengajian tinggi negara kerana selama ini hanya universiti tertentu saja yang bersedia membuka peluang mengikuti pembelajaran cara itu.

Dengan adanya Politeknik Metro, jumlah tenaga pakar dalam bidang teknikal dan vokasional pasti berjaya dihasilkan secara optimum. Malah, diramalkan bidang ini akan mendapat wajah baru yang lebih segar dengan kerancakan penyelidikan dan penerokaan pelbagai inovasi bermanfaat untuk negara.

Tunjang teras kepada kelangsungan perkembangan pembangunan industri negara pada masa depan banyak bergantung kepada penyediaan tenaga pakar dalam bidang teknikal dan vokasional. Kesediaan dan kemampuan pihak IPT termasuklah politeknik menawarkan graduan yang hebat dan berkemahiran unggul pasti dapat menyumbang kepada hasrat negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Soalnya, bagaimana kita mampu merealisasikan hasrat murni itu? Jawabnya sudah tentu terletak pada kesediaan pihak IPT termasuklah seluruh politeknik dan institusi kemahiran lain menggembleng usaha memperhebatkan kualiti pengajian.

Justeru, penubuhan Politeknik Metro menepati hasrat itu yang ingin melahirkan anak tempatan berkebolehan sebagai bangsa pencipta.

Dengan pengajian teras utamanya menjurus kepada bidang teknikal dan vokasional, dirasakan politeknik termasuklah Politeknik Metro mampu memikul amanah besar melahirkan bangsa pencipta. Oleh itu, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Inovasi atau lebih dikenali sebagai Pusat Inovasi Politeknik seharusnya berperanan secara lebih aktif dalam menggerakkan usaha mengetengahkan hasil cipta dan inovasi bermutu.

Dengan semangat anak muda yang sentiasa dahagakan ilmu dan kemahiran ketika mereka belajar di politeknik berupaya melahirkan warga tempatan yang berani menjadi seorang penginovasi hebat.

Sesungguhnya dengan wujudnya Politeknik Metro itu menjadikan sektor pengajian tinggi negara semakin hidup berkembang subur dengan kerancakan pesat menuju pencapaian visi negara sebagai sebuah negara maju.

Inilah langkah yang mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sekali gus memenuhi keperluan pasaran industri negara.

Politeknik Metro adalah satu lagi mercu tanda baru sektor pengajian tinggi negara yang akan menggalas tanggungjawab besar membina wajah baru masyarakat bestari.

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan