Rabu, 25 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.

Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.

Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu.

Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan.

Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.

Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku sekolah.

Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti.

Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal punishment. Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.

Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan.

Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah.

Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.

Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan.

Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.

Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal.

Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.

Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut.

Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.

Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan.

Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut.

Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Bonus raya setengah bulan


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : #7030 membina generasi bersepadu


Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH

#7030 adalah cadangan nisbah 70 peratus akademik : 30 peratus kokurikulum dalam sistem pendidikan dan latihan (sekolah, IPT dan institusi kemahiran) untuk menggantikan nisbah 90:10 yang diamalkan sejak pertengahan tahun 2000. Ketika 90:10 diumumkan, saya menyokongnya, tetapi menyatakan bahawa nisbah lebih tepat ialah 70:30.

Menurut Falsafah Pendidikan Negara, matlamat pendidikan ialah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan; dan melahirkan rakyat yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Untuk merealisasikannya, ia memerlukan strategi yang benar-benar bersepadu dan holistik, termasuk keseimbangan antara akademik dan kokurikulum. 90:10 adalah permulaan baik.

Kini, langkah-langkah KPM, contohnya, pentaksiran berasaskan sekolah dan 1Murid 1Sukan; dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan Dasar Sukan IPT, modul kemahiran insaniah dan kokurikulum berkredit adalah penambahbaikan yang sesuai.

Namun, di sebalik segala usaha tersebut, sistem pendidikan dan latihan kita masih menghadapi banyak cabaran menggusarkan. Dari satu segi, keperibadian generasi muda dipersoalkan psikologikal, spiritual dan intelektualnya, hingga kita seakan-akan menghadapi “generasi terhilang”. Dari segi yang lain pula, kebolehasarannya, iaitu tentang kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritikal dan bekerja berpasukan dipersoalkan, sedangkan kita memerlukan “generasi terbilang”.     

Faktor yang mengakibatkan masalah ini pelbagai. Tetapi, faktor utamanya ialah soal kelemahan, kekangan dan pengiktirafan yang dihadapi kokurikulum. Oleh sebab pemberatannya sekadar 10 peratus sahaja, maka, walau sebaik mana pun ia dilaksanakan, namun, ia tidak dapat membuahkan keberhasilan yang diidamkan.

Dari satu sudut, ada pihak berkepentingan (pelajar/pelatih, ibu bapa, guru/pensyarah/jurulatih, alumni, masyarakat sivil, perniagaan) menganggap kokurikulum tidak penting. Ia dianggap tempelan sahaja. Keterlibatan tidak serius atau berterusan.

Tiada budaya kokurikulum yang kondusif. Yang kurang bakat pun diangkat. Akhirnya, walaupun dibuat seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, tetapi, dek kerana kokurikulum dikira 10 peratus sahaja, mereka dapat juga menaiki tangga pendidikan, latihan, jawatan dan sebagainya. 90:10 menyelamatkannya. 

Sebaliknya, di sudut lain, ada pihak berkepentingan menganggap kokurikulum amat penting. Ia dianggap integral. Keterlibatannya serius dan berterusan. Budaya kokurikulum yang kondusif diwujudkan. Yang berbakat diangkat.

Tetapi, malangnya, di sebalik segala kesungguhan dan pengorbanannya, dek kerana kokurikulum dikira 10 peratus sahaja, mereka dapati segala titik peluh itu tidak berbaloi. 90:10 menghukumnya.

Sebab itu pemberatan kokurikulum mesti ditingkatkan kepada 30 peratus. Supaya memberi pengiktirafan dan motivasi yang sewajarnya. Supaya Falsafah Pendidikan Negara direalisasikan dengan optimum.

Budaya kokurikulum yang baru dan kondusif perlu diwujudkan. Ia meliputi pindaan perundangan dan peraturan sedia ada, mewujudkan kerangka governans yang melibatkan semua pihak berkepentingan, pengukuhan matlamat dan objektif, pandangan alam dan pemikiran progresif, sistem, motivasi, organisasi, penasihat, jurulatih, teknikal dan penghakupayaan pelajar.

Sebenarnya, universiti-universiti terbaik dunia memberikan pemberatan yang besar terhadap kokurikulum. Untuk memasukinya, calon perlu mempunyai pengalaman, contohnya, kesenian, kesukanan atau keusahawanan yang bertaraf dunia. Sekadar mewakili sekolah tidak memadai. Pemberatan kokurikulum jauh melewati 10 peratus, malah menghampiri 50 peratus.

Pada realitinya pula, dunia kerjaya, perniagaan dan sebagainya memberi tumpuan dan imbuhan tinggi terhadap kokurikulum. Mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang adalah mereka yang aktif kokurikulum.  

Justeru, masanya telah tiba untuk kita melaksanakan #7030.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 24 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : IPT Perlu Pertingkat Ciri Keselamatan Dalam Pengeluaran Ijazah


KUALA LUMPUR : Ciri keselamatan sijil, diploma dan ijazah yang dikeluarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) adalah minimum dan mudah dipalsukan sehingga mewujudkan sindiket pemalsuan ijazah baru-baru ini.

Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Bhd (PNMB) Izham Yusoff berkata orang ramai seharusnya tidak mudah terpedaya dengan tawaran 'ijazah segera' menerusi laman web dan ia juga tidak logik kerana tidak memerlukan seseorang menghadiri kuliah di IPT untuk tempoh tertentu.

"Kes pemalsuan ijazah dengan menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi laman web tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik IPTA, IPTS dan nama Malaysia secara keseluruhan, maka itu, semua pihak harus memberi perhatian serius mengenai kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada 1 Julai lepas bahawa wujudnya kegiatan sindiket yang menawarkan ijazah palsu menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi laman web pada harga mencecah RM5,000.

Izham berkata PNMB setakat ini tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan pemalsuan sijil dan diploma kerana setiap produk PNMB mempunyai ciri-ciri keselamatan tambahan, antaranya, penggunaan kertas sekuriti dan teknologi moden.

"Lain-lain aspek keselamatan yang diguna pakai ialah reka bentuk keselamatan, kod rahsia, dakwat, nombor siri, tera air tersembunyi dan pelbagai lagi boleh menambah tahap sekuriti dokumen (sijil dan diploma) tersebut," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap ciri keselamatan untuk pembuatan sijil dan diploma tidak sama dengan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam wang kertas yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ditanya adakah setiap sijil, diploma dan ijazah yang dikeluarkan PNMB mempunyai nombor siri atau nombor keselamatan sama seperti yang diguna pakai BNM, Izham berkata setiap IPTA, IPTS mempunyai nombor siri dan keselamatan sendiri tetapi itu hanya untuk kawalan dokumen dan pemantauan semata-mata dan bukan merupakan ciri keselamatan.

Setiap sijil dan diploma yang dihasilkan PNMB akan disimpan di dalam salinan digital berciri sekuriti untuk rekod simpanan dan semakan oleh pihak IPTA dan IPTS, katanya.

"Digital berciri sekuriti ini membolehkan pihak yang berkenaan seperti majikan, institusi kewangan dan badan kerajaan membuat semakan kesahihan dokumen itu dengan IPTA dan IPTS berkenaan kelak," katanya.

PNMB sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, memang bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak-pihak lain yang berkaitan dalam memerangi pemalsuan dokumen ini, kata Izham.

"PNMB mempunyai tenaga kerja pakar dan juga alatan khas untuk mengesan dokumen palsu," katanya.

Izham menegaskan bahawa sehingga kini tidak wujud sindiket yang melibatkan 'orang dalam' PNMB kerana ia mempunyai sistem sekuriti dan pemantauan yang terkini untuk memastikan kegiatan itu tidak berlaku.

PNMB adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan DiPerbadankan yang memberi perkhidmatan dan penyelesaian percetakan untuk pelanggan dari sektor kerajaan dan swasta dan merupakan syarikat cetak terbesar di Malaysia dengan rangkaian 12 cawangan di seluruh negara. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Penglibatan ibu bapa tentukan kejayaan anak


Oleh : AZMY MOHAMED

PENGLIBATAN ibu bapa dengan pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak.

Kajian peringkat antarabangsa Program Pentaksiran Murid Antarabangsa 2009 yang dilakukan oleh Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan menunjukkan bahawa cara bagaimana penglibatan ibu bapa menggunakan masa bersama anak di rumah mempengaruhi kejayaannya.

Hal ini disokong oleh statistik bahawa 52 peratus masa murid dihabiskan di rumah dan di dalam komuniti berbanding hanya 15 peratus masanya berada di sekolah.

Data ini diperoleh daripada sampel jadual waktu murid 2011 Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kegunaan masa murid berumur tujuh hingga 16 tahun berdasarkan 42 minggu di sekolah dengan purata 5.5 jam di sekolah setiap hari, dua jam masa kokurikulum wajib seminggu dan masa tidur lapan jam sehari.

Justeru, salah satu inisiatif dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah penglibatan ibu bapa, komuniti serta sektor swasta dalam pendidikan dan ia akan dilaksanakan pada Hari Terbuka GTP pada 24 Julai 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Anak akan mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai nilai kendiri dan motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik.

Ibu bapa pula mendapat manfaat dari segi mengakses sumber berkaitan keibubapaan dan memperoleh pengetahuan mengenai sistem serta prosedur sekolah untuk mendapatkan program bantu sekiranya diperlukan.

Apa yang lebih penting adalah mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan ruang atau sudut untuk anak belajar dan memastikan anak mempunyai serta mematuhi jadual ulang kaji.

Sediakan juga buku rujukan walaupun yang terpakai kerana ia akan membantu anak-anak membuat penyelidikan bagi memahami sesuatu perkara.

Jika boleh, ibu bapa perlu menemani anak semasa dia sedang belajar kerana kehadiran anda mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Pastikan bunyi televisyen atau radio direndahkan untuk mengurangkan gangguan.

Adalah lebih jika perkara ini dipupuk sejak anak kecil lagi iaitu dengan membacakan buku kepadanya kerana ia merupakan satu aktiviti yang dapat merangsang minat terhadap membaca, menyemai kecintaan terhadap buku dan ilmu.

Pada masa yang sama, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan perbualan merupakan interaksi yang asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu secara sepakat.

Melalui perbincangan dengan anak mengenai pelajaran, ibu bapa dapat mengetahui perkembangan pencapaiannya, mengatasi keraguannya, membimbingnya merangka tindakan dan mententeramkan kerisauannya. Melalui perbincangan juga akan menghasilkan suatu pandangan bersama tentang sasaran anak dalam pelajaran di samping membantunya mencapai cita-cita.

Maka, bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, mulai 2013, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) akan diwujudkan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Objektif KSIB antaranya adalah untuk mewujudkan rangkaian dan jalinan antara ibu bapa untuk saling belajar dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu pembelajaran anak, membantu apabila berlaku krisis, mengukuhkan tingkah laku positif dalam menghadapi masalah dan menyediakan latihan untuk ibu bapa bagi meningkatkan kemahiran.

KISB juga bermatlamat membantu dalam berurusan dengan agensi-agensi pendidikan, perubatan dan lain-lain di samping berkongsi maklumat, pandangan serta sumber.

Untuk memberi pandangan dan maklum balas mengenai cara meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, sila e-mel kepada saranaibubapa@gmail.com


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Majikan anggap sakit mental masalah terpencil




TIDAK mustahil penyakit mental boleh merebak pantas sehingga pesakitnya berbahaya kepada masyarakat sekiranya tidak dimasukkan ke dalam komuniti pengurusan sempurna dan dipantau secara berterusan.

Ini terutamanya penyakit mental akibat kegagalan mengurus tekanan secara sistematik, sepatutnya diuruskan satu komuniti lebih kecil.

Merujuk kepada penyakit mental dalam kalangan pekerja di Malaysia kini, Ketua Pegawai Pemulihan Kesihatan Mental dan Kaunselor Berdaftar Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Nurhijjah Mat Zin berkata, hal sedemikian tidak mustahil berlaku kepada setiap individu pekerja kerana corak dan budaya pekerjaan kini berhadapan dengan kekangan dan tekanan mencabar.

“Memandangkan budaya kerja pada masa ini lebih mencabar, tekanan pengurusan masa dan bebanan tugas di samping tanggungjawab di luar waktu kerja menjadi faktor penyumbang kepada tekanan mental yang menyebabkan kemurungan di kalangan pekerja.

“Melihat keadaan ini, adalah tidak wajar sekiranya hal berkaitan kesihatan mental dalam kalangan pekerja dipandang remeh. Majikan perlu peka akan keperluan terhadap kesedaran penyakit ini yang berpotensi menyerang sesiapa pun tidak mengira pangkat, usia atau status,” katanya.

Menurutnya, ramai majikan kini ada kesedaran terhadap keadaan ini. “Ini dapat dilihat menerusi data MMHA, di mana ramai majikan telah mendaftar mendapatkan perkhidmatan persatuan ini dalam mengendalikan pelbagai program berkaitan kesihatan mental.  Namun, kesedaran dalam kalangan majikan masih tidak secara menyeluruh.

“Malah, ada sesetengah majikan masih beranggapan penyakit mental sebagai masalah terpencil dan rata-rata mereka mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja yang didapati menghidapi tekanan mental. Perkara begini tidak seharusnya terjadi, kerana bukan semua masalah mental tidak boleh diubati.

Pesakit mental ada harapan sembuh sekiranya dirujuk awal dan mendapatkan rawatan berterusan,” katanya.

Majikan prihatin sentiasa bersedia dan peka sekiranya terpaksa berhadapan dengan permasalahan ini.

“Memanglah kebanyakan syarikat kini menyediakan unit kaunseling sebagai rujukan pekerja-pekerja mereka mendapatkan khidmat nasihat sekiranya diperlukan. Namun, kejayaan menerusi pendekatan ini masih boleh saya andaikan tidak berjaya keseluruhannya kerana mentaliti pesakit itu sendiri selain masyarakat di sekelilingnya.

“Seorang pekerja yang menyedari dirinya mengalami simptom kemurungan di tempat kerja sudah pasti sukar atau lebih teruk menolak untuk bertemu kaunselor yang disediakan syarikat kerana berfikiran malu sekiranya diketahui rakan sepejabat atau diketahui majikan bahawa dirinya mengalami tekanan mental atau perasaan.

Oleh itu, majikan boleh membantu dengan cara lain seperti menyediakan saluran dari luar untuk pekerja itu pergi mendapatkan rawatan dengan perasaan bebas tanpa dibelenggu rasa bimbang ‘rahsianya’ bertemu psikiatri diketahui individu sekeliling di pejabat,” katanya.

Katanya, sokongan keluarga amat penting di mana ahli keluarga perlu pastikan pesakit ini mengambil ubat mereka di rumah dan memberi sokongan moral supaya pesakit terjamin dari segi emosi. Semua faktor ini membantu mengelak mereka mengalami relapse menyebabkan tindakan agresif.

“Tindakan segelintir ahli keluarga menyisihkan darah daging mereka sendiri sebaik saja disahkan menghidap penyakit mental sedangkan golongan ini memerlukan sokongan keluarga terdekat seperti menguruskan rawatan tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Menurutnya, selain pesakit, ahli keluarga pesakit juga perlu mengetahui mengenai penyakit ini.

“Mengikuti kursus kaunseling dan program-program berkaitan penyakit mental tidak seharusnya dipandang remeh kerana sekiranya terdapat seorang pesakit mental di dalam keluarga, aspek memberi perhatian sebenarnya adalah tanggungjawab setiap ahli keluarga,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Sakit mental dalam kalangan pekerja isyarat untuk majikan



RAMAI pekerja berhenti secara tiba-tiba; ramai pekerja kerap bercuti sakit; ramai pekerja ponteng; ramai pekerja yang menurun kualiti  dan produktiviti; budaya ampu-mengampu berleluasa; budaya tikam belakang  sesama kakitangan; dan budaya gosip tidak sihat sesama anggota syarikat adalah tanda sesebuah organisasi syarikat itu mempunyai persekitaran kerja tidak sihat dan memiliki pekerja yang mengalami masalah mental.

Pakar psikiatri, Profesor Mohamad Hussain Habil berkata, budaya suasana tempat kerja tidak sihat seperti ini berpotensi besar memberi tekanan kepada pekerja yang akhirnya menjadi penyumbang besar kepada masalah mental dan kemurungan.

“Ramai tidak sedar atau tidak ambil endah dengan tekanan yang dialami di tempat kerja. Kebanyakan masyarakat memikirkan hal ini sebagai perkara biasa dan hanya membiarkannya tanpa diambil sebarang langkah pemulihan atau rawatan.

Sedangkan, tanpa diketahui sebahagian sakit mental iaitu kemurungan berpunca daripada masalah di tempat kerja yang menjadi penyumbang kepada kecelaruan pemikiran akibat arahan ketua yang tidak jelas, masalah komunikasi, pembahagian tugasan kerja yang tidak seimbang, ketua pilih kasih termasuk gangguan seksual,” katanya.

Menurutnya, jika majikan atau organisasi syarikat gagal mengesan atau mengambil pendekatan dan membiarkannya, untuk jangka masa panjang memberi kesan negatif.

“Kesannya tidak kepada pekerja itu semata-mata, malah majikan turut berdepan kerugian dari segi produktiviti mutu pekerja,” katanya sambil memberitahu, menjadi tanggungjawab majikan menyediakan persekitaran tempat kerja baik dan selamat dengan mewujudkan saingan sihat sesama kakitangan.

“Penyediaan tempat kerja yang kondusif boleh menjadi motivasi kepada pekerja bagi menyumbang hasil kerja yang optimum, berproduktiviti tinggi serta meningkatkan keperibadian dan kepuasan diri,” katanya.

Sekiranya berlaku tanda-tanda negatif demikian di dalam organisasi, syarikat perlu segera.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/